BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Saya ada soalan tentang pewarna cochineal/carmine. Soalannya, JAKIM dan (Majlis Ulama Indonesia serta MUISingapore) memutuskan bahawa penggunaan carmine dalam makanan & kosmetik halal walaupun pewarna ini diperbuat daripada serangga (cochineal beetle)? Saya keliru kerana bukan ke dalam mazhab syafiie makan serangga itu haram? Selain itu, di internet/online nampaknya majoriti umat Islam sedunia dan mufti/ulama/jabatan agama dari negara2 seperti South Africa, Australia, USA dan EU menyatakan bahawa carmine ini haram dan hanya boleh guna pada luaran sahaja (mereka menyatakan sebab bangkai serangga yang tidak berdarah adalah suci tetapi masih haram untuk makan) Saya amat keliru tentang bab ini dan harap Mufti dapat menjelaskan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Ugama Islam Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna Cochineal : Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa FKI seperti berikut: 1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah sejenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP). 2. Muzakarah juga menegaskan bahawa Jumhur Fuqaha’ sepakat menetapkan bahawa bangkai serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci, dan pewarna cochineal adalah diperolehi daripada serangga cochineal yang telah mati di mana darahnya tidak mengalir. 3. Berdasarkan ketetapan tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenrakan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan. Semoga penjelasan tersebut bermanfaat dan tidak mengelirukan masyarakat di negara ini. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 197

message user image