Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamua'laikum, Saya ingin bertanyakan berkenaan dengan pelaburan melalui Contract for Differences (CFD). Adakah dibolehkan sekiranya menggunakan broker yang dimiliki oleh orang Islam yang memberi jaminan 'swap free' dengan kata lain tidak terlibat dgn riba. Mohon pandangan memandangkan pelaburan CFD ini banyak mendatangkan keuntungan setakat ini.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Sememangnya benar, dalam apa jua bentuk pelaburan atau perniagaan, perkara paling asas yang wajib difahami dan diberi perhatian ialah isu riba' (faedah). Ini kerana Islam dengan tegas mengharamkan riba dalam segala bentuknya.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275:
Maksudnya: Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.
Namun begitu, penilaian terhadap pelaburan yang patuh syariah tidak boleh hanya terhenti pada isu riba semata-mata. Terdapat beberapa elemen penting lain yang turut menjadi asas kepada pelaburan Islam, antaranya:
Tiada unsur gharar (ketidakpastian yang melampau)
– seperti kontrak yang tidak jelas, syarat yang mengelirukan, atau tidak diketahui hasilnya secara adil.
Tiada unsur maysir (perjudian atau spekulasi melampau)
– pelaburan yang berdasarkan nasib atau tekaan semata-mata tanpa asas analisis dan pemilikan sebenar.
Produk atau perniagaan tidak melibatkan aktiviti haram
– seperti alkohol, judi, pornografi, riba, atau barangan yang dilarang syarak.
Adil dalam kontrak dan pemilikan yang sah
– tidak berlaku penipuan (tadlis), paksaan (ikrah), atau syarat yang menindas pihak lain.
Maka, setiap keuntungan yang diperoleh dari pelaburan hendaklah dipastikan benar-benar bersih dan selamat dari unsur-unsur yang bertentangan dengan hukum syarak, agar harta yang diperoleh itu menjadi berkat dan halal bukan sekadar dari sudut luaran, tetapi dari segala sudut yang berkaitan dengan transaksi perniagaan yang dijalankan.
Sekian, terima kasih.