BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: 1. Bagaimana di katakan Allah memberi rezeki pada setiap makhluk ciptaannya di muka bumi ini sedangkan di Afrika banyak yang mati kebuluran. 2. Bagaimana di katakan Allah menguji makhluknya ikut kemampuan mereka sedangkan hakikatnya mereka mampu dengan menderita kebuluran sehingga mati? 3. Saya biasa dengar ceramah mengenai israk mikraj yg mana nabi naik ke langit bermula dari Masjidil Aqsa. Di katakan Masjidil Aqsa itu sama tentang dengan Sidatul Muntaha/langit. Sedangkan bumi kita sentiasa berpusing pada paksinya 24 menjadi siang malam. Bagamamana boleh sama tentang dengan langit kalau bumi sentiasa berpusing? 4. Di padang masyar di katakan matahari sejengkal dengan kepala kita. Matahari itu lebih besar dari bumi bagaimana dia boleh sejengkal dengan kepala kita? Bagaimana pula orang yang lebih tinggi atau rendah dari kita kalau matahari itu sejengkal?


message user image

Jawapan  

Persoalan tuan adalah persoalan aqidah (keimanan) yang tidak boleh dinilai dari sudut akal semata-mata. Tetapi perlu didasari oleh rasa keimanan (melalui ilmu tauhid/ usuluddin). 1. Kematian yang berlaku di Afrika adalah ketentuan Allah SWT, yang ada kaitannya dengan perbuatan manusia baik dalaman atau luaran hingga negara menjadi mundur, kekurangan makanan, kerana hakikatnya Allah SWT yang menentukan rezeki kepada semua makhluk ciptaannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”. (Hud : 6) 2. Manusia adalah makhluk yang lemah. Dengan izin Allah jua manusia mampu melakukan sesuatu dalam keadaan yang amat terbatas. Kebuluran yang berlaku ada kaitan dengan perbuatan manusia, sedang kematian adalah kehendak Allah SWT kepada semua makhluk yang hidup. Firman Allah SWT: كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ Maksudnya : “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati” (Ali’Imran : 185) 3. Langit/ Sidratul Muntaha, adalah perkara sam’iyat yang wajib diyakini. Kita tidak mengetahui hakikatnya, rupa dan tempatnya. Perkataan “atas” adalah nisbah kepada ketinggian dan keagungan ciptaan Allah SWT yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Masjidil Aqsa merupakan tempat Nabi SAW memulakan Mikraj yang ada dibumi. Tetapi Sidratul Muntaha dan langit itu sendiri tidak dapat diketahui. Perjalanan Nabi SAW dalam Israk dan Mikraj juga merupakan peristiwa perjalanan yang perlu difahami melalui keimanan. Oleh itu, kita tidak boleh mengikut logik nisbah kepada keadaan bumi, berpusing dan beredar. 4. Mahsyar juga adalah antara perkara sam’iyat yang wajib dipercayai. Ia merupakan alam akhirat yang perkiraannya tidak sama dengan perkiraan di dunia. Matahari sejengkal di atas kepala adalah gambaran kepada orang yang ingkar (tidak beriman) menerima balasan siksa melalui kepanasan, kerana dekatnya matahari. Bagaimanapun, orang yang beriman ia bukan sahaja tidak merasa kepanasan, tetapi sebaliknya ia akan menerima balasan nikmat. Walaupun hakikatnya semuanya berada di perhimpunan Padang Mahsyar. Tegasnya, apa yang dirasai oleh orang yang beriman dan tidak beriman amat berbeza sekali. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 258

message user image