BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya berkenaan akidah golongan yang menggelar diri mereka sebagai salafi. Adakah mereka terkeluar dari ASWJ?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, dari segi bahasa, Salaf adalah perkataan bahasa arab yang membawa maksud awal. Golongan ini hidup pada tiga kurun pertama Islam (300 tahun awal perkembangan Islam) dan disifatkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai manusia yang terbaik melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda; خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ، وَيَمِينُهُ شَهَادَتَه Maksudnya ; “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada kurunku (para sahabat), kemudian mereka yang hidup selepas mereka (para tabi’in), kemudian mereka yang hidup selepas mereka (tabi’ tabi’in) , kemudian akan datang kuam-kaum (generasi) yang mendahului penyaksian salah seorang dari mereka keatas sumpah seorang yang lain, dan mendahului sumpah salah seorang dari mereka keatas penyaksian seorang yang lain (banyak berlaku penyaksian palsu dan kurang mengambil berat soal agama)”. (Riwayat al-Bukhari) Akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah pegangan akidah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW dan diwarisi oleh para sahabat, para tabi’in dan tabi’ tabi’in. Imam Abu Hassan Al Asy’ari (260-324H) dan Abu Mansur Al Maturidi (248-333H) adalah dua orang imam yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan akidah yang benar ini berdasarkan ilmu yang diwarisi sejak awal perkembangan islam (golongan Salaf). Imam Az Zabidi menyatakan di dalam kitabnya Ittihaf as-Sadah al-Muttaqin bahawa; إِذَا أُطلِقَ أَهْلُ السُّنَّةِ وَالجَمَاعَةِ فَالمُرَادُ بِهِم الأَشَاعِرَةِ والمَاتُورِيْدِيَّةِ “Jika diitlaqkan (digunakan) lafaz as-Sunnah wa al-Jama’ah, maka yang dimaksudkan dengan mereka ialah golongan Asya’irah dan al-Maturidiyyah”. Ahlus Sunnah Wal Jama’ah menolak akidah yang kufur iaitu akidah tajsim (Allah SWT ada anggota badan) dan tasybih (Allah SWT menyerupai makhluk) kerana Allah SWT sama sekali berbeza dengan makhluk. Sekiranya terdapat maksud zahir bagi ayat Al Quran atau Hadith yang boleh membawa kepada tajsim atau tasybih, maka ayat Al Quran atau hadith tersebut wajib ditakwilkan (memahami makna tersirat) berpandukan huraian ulama’ tanpa mengingkarinya. Inilah akidah salafi yang sebenar. Imam Abu Abdullah Nu’aim bin Hammad menyatakan ; من شبه الله بشيء من خلقه فقد كفر ومن أنكر ما وصف الله به نفسه فقد كفر وليس فيما وصف الله به نفسه ولا رسوله تشبيه Sesiapa yang menyerupakan Allah SWT dengan sesuatu daripada makhlukNya, maka dia kafir, sesiapa yang ingkar sifat Allah SWT yang disifatkan oleh diriNya sendiri, maka dia kafir dan tidaklah sifat Allah SWT yang disifatkan oleh diriNya sendiri atau rasulNya itu ada persamaan dengan yang lain. Sebagai kesimpulan, selagimana golongan yang mendakwa diri mereka sebagai Salafi itu berpegang kepada acuan akidah yang dinyatakan di atas, maka mereka termasuk di dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan terselamat daripada kerosakan akidah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 249

message user image