BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Bolehkah terangkan kepada saya tentang isu berkaitan pelancaran tudung wanita di kelab malam. Termasuklah adegan berjoget-joget walaupun dengan pakaian ‘menyaluti’ badan & bukan menutup aurat. Saya berasa amat sedih dengan keadaan ini. Dan saya rasa terpanggil untuk menyampaikan kebaikan & perkara sebenar berdasarkan peristiwa yang sedang berlaku sekarang. Boleh jelaskan keadaan ini? Islam liberal? Atau bagaimana? Alhamdulillah terima kasih in sha Allah saya nantikan dari pihak mufti Selangor.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, isu yang berlaku ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan persepsi orang bukan Islam terhadap maksud Islam yang sebenar, ada beberapa kemungkinan di dalam menganalisis perkara-perkara yang berlaku seperti ini: 1. Kejahilan pihak yang terlibat – Di dalam keadaan tidak tahu bahawa apa yang dilakukan adalah sesuatu yang bertentangan dengan syarak maka nasihat dan peringatan perlu diberikan agar jika ada perkara yang meragukan ianya mestilah segera dirujuk kepada badan yang berautoriti berkaitan hukum hakam atau badan-badan autoriti lain yang terlibat dengan isu. Firman Allah SWT di dalam al-Quran di dalam surah an-Nahl ayat 43: فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”. 2. Mengetahui batasan hukum hakam, tetapi sengaja melakukan – Dalam dunia serba moden dengan kemudahan gajet dan capaian internet tanpa batas pada hari ini, akhirnya menatijahkan golongan-golongan yang dahagakan perhatian dari warga pengguna (netizen) media sosial sehingga muncullah golongan yang ketagihan like dan juga ketagihan isu yang boleh mem-viral-kan dirinya demi meraih populariti mahupun sebagai satu kaedah melariskan barangan yang dijual. Setiap perkara yang dilakukan oleh manusia adalah tertakluk serta terikat dengan batasan hukum syarak yang telah ditetapkan di dalam feqah, sekalipun niatnya betul tetapi niat yang betul itu mesti diikat dengan cara yang telah ditetapkan oleh syarak. Jika tidak maka sekalipun niatnya betul tetapi kerana caranya salah maka perkara tersebut akan menjadi sia-sia. 3. Nasihat secara umum kepada pengguna media sosial : setiap yang ditular atau yang didapati di dalam alam maya perlukan tabayun (penjelasan) daripada pihak yang terlibat, baiknya ianya yang berkaitan dengan isu semasa mahupun yang berkaitan dengan hukum hakam ini termasuklah ayat-ayat al-Quran serta terjemahannya, teks-teks hadis dan terjemahannya dan juga apa-apa perkara lain yang ada kaitannya dengan agama perlu dipastikan keesahannya sebelum dipanjangkan kepada orang lain. Firman Allah SWT: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ Maksudnya: ”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (al-Hujurat : 6) Kegagalan mendapatkan tabayun (penjelasan) daripada pihak-pihak berautoriti mahupun pihak yang terlibat boleh mengakibatkan kita terlibat dengan penyebaran berita palsu, lebih malang lagi apabila ianya melibatkan isu-isu berkaitan agama yang akhirnya mengakibatkan kita menanggung dosa besar iaitu dosa melakukan fitnah. Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA: كفى بالمرءِ كذبًا أن يُحَدِّثَ بكلِّ ما سمِع Maksudnya: “Cukuplah seseorang untuk digelar (sebagai) penipu apabila dia menyampaikan (setiap) apa yang dia dengari” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 398

message user image