BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalammualaikum ustaz, maafkan saya ustaz. saya cuma ingin meminta penjelasan ustaz. Saya ada suami yang sakit kronik dan OKU (mata buta) Alhamdulilah pencen ilat dan bantuan baitulmal. saya pula tidak bekerja uruskan dia dan anak 2 orang disamping saya ada anxiety disorder. susah untuk bekerja dengan adanya tanggungjawab pada keluarga. Kewangan pula sekadar mencukupi. saya selalu berdoa supaya Allah berikan rezeki yang melimpah ruah, rezeki yang luas. saya yang uruskan duit bajet semua termasuk untuk masa depan anak-anak. masalahnya, saya kecewa dan terkilan sangat bila suami saya berdoa miskin itu lebih baik. biarlah Allah bagi rezeki cukup-cukup tidak perlu melimpah ruah nanti takut kufur nikmat lupa untuk bersyukur. Allah, saya sedih ustaz. saya yang kena bajet semua belanja bulanan dan terasa ingin rezeki lebih supaya ada simpanan. saya berdoa mana tahu Allah bagi seganda lagi. Tetapi suami saya pula begitu. Saya sedih dan kecewa. saya takut kalau Allah makbulkan doa dia. macam mana pandangan ustaz? Terlebih dahulu saya minta maaf kalau saya menganggu ustaz. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, dalam apa jua situasi kehidupan yang puan lalui sekeluarga, sebenarnya konsep bersyukur perlu ada. Dengan bersyukur terdidiklah hati dan hidup jadi tenang. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim : 7) Tidak salah berdoa agar dikurniakan rezeki yang luas dan melimpah ruah kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Memberi Rezeki, tetapi puan perlu tahu bahawa Allah memberi rezeki apa yang kita perlu pada pengetahuanNya, bukan yang kita mahu mengikut kehendak kita, supaya kita berfikir apa hikmahnya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “(Mengapa mereka mendakwa demikian), tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah)”. (Az-Zumar : 52) Kerana jika ditakdirkan Allah memberi kita rezeki yang melimpah ruah, boleh jadi kita lupa diri, sombong, berbelanja mengikut nafsu dan jauh dari Allah SWT, sebagaimana firmanNya yang bermaksud : “Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa”. (Ar-Ruum : 36) Rezeki yang Allah dikurniakan kepada hambaNya, bukan sahaja nikmat semata-mata, bahkan ia juga merupakan ujian. Hal ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (Ar-Ruum : 37) Adapun, bukanlah niat suami untuk berdoa miskin itu lebih baik, sebaliknya puan sekeluarga sentiasa beringat dan bersyukur. Mungkin miskin pada pandangan manusia tetapi bukan pada pandangan Allah SWT. Justeru, usahlah puan sedih dan kecewa, kayakan dengan perbanyakkan amal ibadah, sentiasa berbuat baik, bersedekah apa yang mampu, sentiasa bersyukur dengan bantuan yang diterima dan jangan membanding-bandingkan dengan kehidupan manusia sekeliling. Jangan mudah panik dan bimbang atau inginkan kehidupan serba sempurna atau berfikir berlebih-lebihan dan seumpamanya, kerana ia akan lebih mementingkan urusan keduniaan (material) berbanding urusan akhirat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 204

message user image