BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti dan Bahagian Fatwa, Saya En Hamid, ada pertanyaan mengenai seorang ustaz yang buat ceramah di surau kawasan saya bekaitan kenyataan dalam ceramah beliau. Kenyataan ustaz tersebut adalah seperti berikut : Kalian berpikir bahawa hidayah di tangan Allah. Seandainya hidayah di tangan Allah, mengapa Allah mengutus para Anbiya? Untuk menurunkan hidayah, Allah mengutus para nabi. Hidayah adalah efek dari usaha. Orang-orang telah menerima hidayah adalah karena usaha dari para Anbiya. Anbiya tidak menyebarkan hidayah dengan ketawajjuhan dan kerohanian mereka... Saya berharap pihak tuan dapat menjelaskan maksudnya serta penerangan, adakah maksud beliau bahawa hidayat bukan atas kehendak Allah swt kerana itu Allah turunkan para nabi? mohon penjelasan. Saya yang Jahil,


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, perkara pertama yang perlu difahami dalam persoalan ini adalah skop tugas para nabi dan rasul. Diriwayatkan oleh Abdul Rahman Ibn Abd al-Rabb, bahawa Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorangpun Nabi sebelumku, kecuali menjadi tanggungjawab ke atasnya untuk menunjukkan jalan yang benar kepada umatnya, dan memperingatkan mereka akan jalan keburukan”. (Riwayat Muslim) Ini adalah antara dalil skop dan tugas seorang nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah SWT bagi sesuatu kaum, iaitu menunjukkan jalan yang benar iaitu ketauhidan yang jitu. Para nabi dan rasul adalah bertindak menunjukkan jalan yang benar. Adapun, menjadi kepastian umat tersebut menurutinya adalah sesuatu yang bukan kawalannya. Lihat sahaja bagaimana Nabi Nuh AS tidak mampu untuk menarik ahli keluarganya untuk menaiki kapalnya dan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mampu memberikan hidayah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Oleh itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)” (al-Qasas : 56) Begitu juga dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam” (al-Anaam : 125) Dalil di atas menunjukkan Allah SWT adalah pemilik mutlak hidayah dan Dia memberinya kepada sesiapa yang dia kehendaki. Hatta Nabi Muhammad SAW kekasihNya tidak mempunyai keistimewaan itu. Namun, ini tidak menggambarkan hidayah perlu ditunggu dan tidak perlu berbuat apa-apa tindakan untuk memperolehinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (al-Ankabut : 69) Istilah “tak sampai seru” dan “hidayah belum tiba” adalah kebiasaan untuk tidak meletakkan kesalahannya yang tidak berusaha mencari hidayah dan berubah kepada kebaikan adalah bentuk putus asa serta meletakkan buruk sangka kepada Allah SWT. Walhal, usaha adalah gerak kerja yang pertama, dan berdoa serta tawakal adalah langkah akhir untuk diberikan hidayah. Ingatlah janji Allah SWT dalam ayat di atas iaitu hidayah akan diletakkan diribanya apabila dia terus istiqamah untuk berusaha. Kesimpulannya, meletakkan hidayah bukan atas kehendak Allah SWT adalah tidak tepat dan ini boleh meletakkan sifat kerendahan kepada Allah SWT. Sedangkan ia adalah hak mutlak Allah SWT. Nabi dan Rasul adalah pesuruhNya menyebarkan syiar dan ketauhidan kepada sekalian umat. Manakala usaha hanyalah alat yang menjadi sebab untuk seseorang mendapatkan hidayah. Pokok pangkalnya pemegang kepada hidayah hanyalah milik Allah SWT dan ianya berjalan selari dengan usaha yang dilaksanakan. Jika tiada usaha sekalipun dan Allah SWT mengkehendakkan seseorang memperolehi hidayahNya ia adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 166

message user image