Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Di tempat kerja saya ramai pekerja asing. Mereka terpaksa meninggalkan isteri dan keluarga dalam tempoh yang lama, berbulan bahkan ada yang bertahun. Apakah hukum kalau saya menjual "sex toy" kepada mereka? atas dasar ingin membantu mereka melepaskan keperluan dan keinginan mereka..
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, hasrat tuan menjual “sex toy” hukumnya adalah haram, kerana lebih mendorong kepada pelakuan maksiat. Di samping mengambil kesempatan (keuntungan) atas alasan untuk melepaskan keinginan mereka. Membantu dalam perkara yang haram, hukumnya juga haram. Islam menggariskan panduan agar umatnya menjaga diri dan kemaluan daripada cenderung kepada syahwat. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.
(Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih.