Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya berpenyakit buasir dan selalunya dubur dibasah air yang keluar dari dubur 24 jam sehari. dan berhadas sentiasa. Adakah saya diharuskn untuk jamak solat saya
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, bagi pesakit yang sentiasa berhadas seperti penyakit salas (keluar air kencing/ darah istihadhah berterusan) atau yang seumpamanya, adalah mengikut kaedah berikut: Solat fardu pada setiap waktu (menurut mazhab Syafi’i). a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis. b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wuduk atau mandi wajib. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat. c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk dan solat. d) Satu wudhuk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain. Pesakit yang menggunakan urine bag atau stoma beg atau kolostomi beg jika mampu menyucikan tempat keluar najis dan menukar atau membersihkan beg najis tersebut, hendaklah berbuat demikian sekadar termampu. Kemudian sucikan diri daripada hadas kecil / besar dan tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang. (http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf) Kaedah solat juga boleh dilakukan mengikut keadaan pesakit sama ada berdiri, duduk atau mengiring. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya: Aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat, Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.
(Riwayat al-Bukhari)
Sekian, terima kasih.