BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum wbt. i. Adakah Jawsyan Khabir sebahagian dari sunah Rasullah? ii. Adakah meangamalkannya seperti yang dilakukan oleh Umat Islam Turki, sebahagian dari amal solleh? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, secara umum berdoa merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam bahkan ianya dirakam oleh Allah SWT sebagai sebuah perintah serta merupakan suatu bentuk ibadah, firman Allah SWT : وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”. (Ghaafir : 60) Adapun doa Jawsyan Khabir sebagaimana yang kami semak merupakan amalan yang bersumberkan daripada sumber bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau secara spesifiknya adalah datang dari sumber rujukan Syiah. Oleh itu, fadhilat-fadhilat tertentu di dalam doa tersebut tidak dapat kami semak kesahihannya. Justeru, adalah dinasihatkan agar kita beramal dengan amalan-amalan yang sahih daripada sumber yang benar sebagaimana yang telah disusun oleh para alim ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerana sandaran kepada Rasulullah SAW memerlukan kepastian yang tidak berbelah bahagi. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu’bah RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: إن كذبا علي ليس ككذب على أحد ألا ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار Maksudnya : “Sesungguhnya mendustaiku tidak sama sebagaimana berbuat dusta kepada selain aku. Ketahuilah, barangsiapa dengan sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah ia mempersiapkan tempat duduknya di dalam neraka”. (Riwayat Ahmad) Doa yang paling utama untuk diamalkan dan dihafal adalah doa-doa yang terdapat di dalam al-Quran dan Al-Sunnah seterusnya bolehlah beramal dengan apa-apa doa yang tidak bertentangan dengan syarak, kerana selagi mana doa tersebut adalah bertujuan mendoakan kebaikan di dunia dan akhirat maka doa tersebut adalah harus untuk di baca. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 223

message user image