BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Ibu saya baru 10 hari meninggal dunia akibat kanser rahim. Semasa hayatnya, Ibu saya ada menyimpan sejumlah wang yg dirahsiakan (bersama saya) dari Ayah saya dengan tujuan untuk kegunaan sakit peningnya kelak. Tetapi sepanjang Ibu saya mengalami kanser rahim dan telah melakukan pembedahan di hospital kerajaan, Ayah saya yang menanggung kos semuanya. Maksud Ibu saya tentang duit simpanannya itu adalah sekiranya Ayah saya beralih arah memandangkan Ayah saya ada isteri muda. Bukan lah bermakna ayah saya seorang yang zalim, tetapi Ibu saya cuma mengambil langkah berjaga2 kerana Ibu tidak bekerja. Ibu saya 'pergi' sangat cepat dan mengejut. Kami masih lagi terkejut di atas pemergiannya, tetapi alhamdulillah kami redha. Ibu saya pergi dengan tenang. Persoalannya, apakah saya perlu bagitahu Ayah saya berkenaan duit tersebut? Jika mengikut syarak, saya perlu bagi ke Ayah saya, saya berbesar hati dan tak kisah pun untuk berbuat demikian. Saya tidak terus beritahu Ayah tentang duit Ibu kerana masih lagi merasakan ianya masih lagi rahsia antara saya dan Ibu.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, duit simpanan tersebut merupakan harta pusaka yang perlu difaraidkan kepada ahli waris iaitu suami, anak lelaki dan anak perempuan. Oleh kerana ia disimpan secara rahsia yang hanya diketahui oleh puan, maka sebagai pemegang amanah, puan hendaklah memaklumkan kepada ayah berkenaan wang tersebut untuk difaraidkan. Sebelum itu, hendaklah diselesaikan dahulu hutang-hutang arwah ibu, fidyah, haji (jika belum menunaikan haji), wasiat – 1/3 bahagian (jika ada). Setelah semua urusan berkaitan arwah selesai, bakinya barulah boleh difaraidkan. Apabila berlaku sahaja kematian, tiada lagi rahsia dan segala harta milik arwah perlulah dikenalpasti untuk diwarisi kepada waris yang masih hidup. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.” (an-Nisaa' : 33) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 94

message user image