BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, Saya ingin bertanya tentang selawat tafrijiyyah/nariyah. Adakah dengan mengamalnya boleh jatuh syirik? Minta penjelasan. Di bawah ini adalah pautan yang saya dapat dari internet http://bahaya-syirik.blogspot.com/2008/11/078-syiriknya-selawat-syifa-selawat.html Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan perkara yang disunatkan di dalam islam dan dalam keadaan tertentu ianya diwajibkan dengan ianya menjadi rukun ketika tasyahhud akhir di dalam solat. Allah SWT berfirman di dalam surah al Ahzab ; إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab : 56) Selawat al-Nariyah, al-Tafrijiyyah atau al-Taaziyah adalah salah satu bentuk selawat ke atas Baginda Nabi SAW yang disusun oleh Sheikh Abu Ishaq Ibrahim Al-Taazi Al-Wahrani dan ianya harus diamalkan kerana isi kandungannya tidak bertentangan dengan syara’. Antara contoh Selawat al-Nariyyah adalah; اللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً، وَسَلِّمْ سَلاَمًا تامًّا عَلَى نَبِيٍّ، تَنْحَلُّ بِهِ العُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الكُرَبُ، وتُقْضَى بِهِ الحَوَائِجُ، وتُنالُ بِهِ الرَّغَائِبُ وَحُسْنُ الخَوَاتِيْمُ، وَيُسْتَسْقَى الغَمَامُ بِوَجْهِهِ الكَرِيمِ، وَعَلَى ءَالِهِ. Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah selawat dan keselamatan yang sempurna kepada Nabi (Muhammad SAW), yang dengannya terlepas kesusahan, dan dibebaskan dari segala kesulitan, dan dipenuhi segala hajat, dan tercapai segala keinginan dan kematian yang baik (husnul khatimah), tersiram bahagia hati yang sedih dengan perantaraan wajahnya yang mulia, dan semoga dilimpahkan pula kepada keluarganya.” Sebagai makhluk, kita wajib mengambil sebab untuk mencapai sesuatu, seperti belajar, menjadi sebab kepada faham dan menjalani rawatan, menjadi sebab sembuh. Begitulah keadaannya kepada para pencinta Allah SWT dan RasulNya dari kalangan Ulama’ dan ahli sufi. Tiada lain yang boleh memberi manfaat kepada mereka kecuali dengan izin Allah SWT dengan kemuliaan Nabi Muhammad SAW yang merupakan rahmat kepada sekalian alam. Selawat ini harus diamalkan dengan kefahaman yang betul dan tidak boleh difahami secara zahir. Selawat ini merupakan satu bentuk tawassul dan mengambil keberkatan Baginda Nabi SAW ketika memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT dan tidak membawa kepada syirik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 214

message user image