BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum Yang Dihormati Ustaz, semoga didalam kasih sayangNya sentiasa.Saya ingin bertanya satu soalan : 1-Apakah hukumnya menggantung gambar keluarga / gambar kahwin/ gambar konvokesyen/ gambar anak anak dan cucu? 2-Saya difaham kan haram dan rumah tidak dimasukki malaikat rahmat. Semoga Yang Dihormati Ustaz dapat meluangkan masa untuk menjawab soalan saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan; 1. Hukumnya adalah harus. Tetapi jika niatnya untuk pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut, hukumnya menjadi haram. Ia bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam buku Seni Dalam Islam: “Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagimana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempunyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq dan penyembah berhala”. 2. Nabi SAW melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah untuk memberikan rahmat. Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya; Maksudnya : “Dia membeli bantal-bantal kecil yang bergambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata Aisyah ”Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan RasulNya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu? : Jawab Aisyah, “Aku membelinya untuk kamu sebagai tempat duduk atau tempat bersandar.” Sabda Rasulullah SAW : “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka. Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”. Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.” (Riwayat Muslim) Haram bagi orang yang meletakkan gambar lukisan atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh atau sempurna fizikalnya. Hal ini berbeza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 290

message user image