BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: assalamualaikum, saya nak bertanya soalan akidah dan harap dapat jawapan yang memuaskan. saya dah banyak kali kecewa dan mengalami kesedihan. jalan penyelesaian saya adalah dengan berdoa kepada Allah berharap Allah buka jalan dan lembutkan hati orang yang meninggalkan saya untuk kembali. perkara ni dah banyak kali berlaku ke atas saya walau dengan orang berbeza. saya rasa seperti tuhan bencikan saya. saya terus berdoa tapi akhirnya keputusan tak memihak saya. sedih sangat dan kecewa kepada Allah. saya rasa seperti burnt out atau jelak berdoa. jemu sebab apa satu pun seakan Allah ignore je. saya sedih dan tertanya tanya kenapa orang lain doa perkara sama mudah dan cepat. namun saya bertahun2 mencuba masih juga dikecewakan. saya rasa jelak dan seakan rasa tak bererti. rakan saya yang bukan islam pun doa mereka perkara sama pun telah diperkenan sedangkan saya masih belum.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, berkenaan situasi yang dialami, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf : 87) Allah yang bersifat Maha Mengetahui, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan menguji hamba-hambaNya untuk menentukan siapa yang terbaik amalnya. Oleh itu, berbaik sangkalah dengan Allah. Sudah tentu apa yang ditentukan Allah mengandungi hikmahnya yang tersendiri. Tidak perlulah berprasangka dengan ketentuan Allah sehingga membandingkan diri sendiri dengan orang lain, termasuk yang bukan Islam. Berdoalah dengan ikhlas dalam bentuk penyerahan dan bukan “memaksa” Allah. Disamping itu teruskan berusaha dengan mentaati perintahNya. Dekatkanlah diri kepada Allah untuk mendapatkan kasih sayang Allah. Berhubung dengan kenalan-kenalan yang bertindak meninggalkan saudari, seharusnya dilakukan muhasabah diri agar dapat diketahui puncanya. Janganlah menggunakan pendekatan “memaksa” untuk mereka setia kepada kita. Justeru, “sayangilah jika kita ingin disayangi”, bersedialah menerima hakikat dengan menyalahkan diri sendiri daripada bertindak menyalahkan semua kenalan saudari. Bahkan, menyalahkan Allah yang menjadikan saudari terus berputus asa dan rasa kecewa. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (ar-Ra'd : 11) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 193

message user image