BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Baru-baru ini saya pernah terbaca sebuah perkongsian dalam satu platform media sosial yang mengatakan bahawa sekiranya seseorang itu selalu bermimpikan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia (contoh: ibu kandung), bermakna beliau tidak beramal dan membuat pahala yang cukup buat bekalan arwah di dalam kubur. Jika seseorang itu selalu bermimpikan arwah ibunya, itu menandakan bahawa roh ibunya tidak tenang kerana anaknya tidak beramal soleh. Adakah ada hadis yang menyokong hal itu? Mohon pencerahan dari pihak tuan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, berdasarkan kepada mafhum hadith, mimpi itu terbahagi kepada tiga (3) sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda: إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam. Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur. Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” (Riwayat Ibnu Majah) Selain itu, hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ Maksudnya: “Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).” (Riwayat Muslim) Justeru, bagi mimpi yang baik boleh dikongsi (diceritakan) dengan orang yang baik atau alim. Sebaliknya jika buruk, bacalah ta’wuz sambil ludahkan (secara isyarat) kesebelah kiri ketika tersedar dari tidurnya/ mimpinya. Kesimpulannya, seseorang yang mengamalkan perkara-perkara yang disunatkan dalam agama sebelum tidurnya, boleh menjadi asbab mendapat mimpi yang baik. Berhubung bermimpi berjumpa ibu yang telah meninggal dunia, jadilah anak yang soleh yang sentiasa mendoakan semoga ibu dirahmati Allah dan diampunkan dosa-dosanya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 182

message user image