BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: assalamualaikum ustaz. tidak lama lagi sy bakal melangsungkan pernikahan. keluarga bakal isteri saya yang sy sudah berkenalan hampir 10 tahun mengaku sebagai keturunan ahlul bait dan pencari ahlul bait dan mengamalkan amalan berkahwin sama taraf (garis keturunan yang sama) sehingga jika ada yang mengahwini orang yang diluar garis keturunan bagi mereka dianggap terkeluar daripada ajaran yang sebenar malah di anggap kafir. mereka mengaku dan menganggap mereka yang mengamalkan ajaran islam yang sebenar2nya. al quran yang mereka amalkan juga dikatakan asli dan lain yg kebanyakan sekerang. seterusnya orang yang dianggap keluar tersebut tidak lagi dibenarkan berjumpa dengan ahli keluarga yang masih lg berpegang dengan ajaran tersebut(tidak pasti sama ada ajaran yang berlainan atau apa kerana mereka terlalu berahsia selagi mereka tidak memastikan sy betul2 dapat menerima ajaran tersebut). padahal kami sesama beragama islam. apa pandangan dan nasihat ustaz bagi dri sy untuk menghadapi situasi seperti ini? sbb sy tidak terlalu bersetuju dgn hal tersebut sehingga dpat menyebabkan pergaduhan antara keluarga besar mereka.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, secara umumnya Ahl al-Bayt atau (أهل البيت) bermaksud penghuni rumah. Manakala (أهل بيت النبي) pula bermaksud penghuni rumah Nabi SAW atau keluarga Nabi SAW. Dari sudut istilah pula, Ahl al-Bayt bermaksud sesiapa sahaja yang mempunyai salasilah kekeluargaan dengan Nabi SAW iaitu isteri-isteri baginda, anak-anak baginda, seluruh keturunan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib. Berdasarkan kepada penerangan di atas menunjukkan perbuatan mengaku sebagai keturunan Nabi merupakan perbuatan yang mesti dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati, hal ini kerana menasabkan diri kepada seseorang yang bukan dari keturunannya sendiri merupakan dosa besar sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Saad Bin Abi Waqqas RA, bahawa Rasulullah SAW: مَنْ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُ فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ Maksudnya : “Siapa yang mengaku kepada selain ayahnya sedangkan dia mengetahuinya, maka haram baginya syurga”. (Muttafaq ‘Alaih) Orang yang mendakwa berketurunan Nabi perlu membawa bukti yang jelas tentang dakwaannya itu. Mengamalkan perkahwinan sama taraf jika tidak akan dianggap kafir Islam merupakan agama yang amat berhati-hati dalam segala tindakan serta amat berhati-hati di dalam menjatuhkan hukum, mengkafirkan seseorang hanya dengan sebab perbezaan taraf dalam perkahwinan merupakan sesuatu yang bukan dari ajaran Islam. Walaubagaimanapun dalam Kekeluargaan Islam ada membincangkan satu bab yang dipanggil sekufu atau kesepadanan disebut dengan kafa’ah. Sekufu bukanlah syarat sah nikah namun ia perlu diambil berat bagi mengelakkan perkara yang buruk terhadap isteri dan para walinya dan menjamin kelangsungan hidup suami isteri. Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda: تَخَيَّرُوْا لِنُطَفِكُمْ وَأَنْكِحُوْا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوْا إِلَيْهِمْ Maksudnya: “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.” (Riwayat Ibnu Majah) Namun perbezaan-perbezaan antara pasangan tersebut tidaklah sampai menghukum kafir antara satu dengan yang lain. Mengaku mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya dan ajaran mereka memiliki al-Quran asli? Sekiranya amalan yang didakwa itu merupakan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak bercanggah dengan majoriti pegangan masyarakat di Malaysia yang juga merupakan pegangan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia maka ia bolehlah dikategorikan sebagai ajaran yang benar. Namun jika hanya mendakwa berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi tidak memperlihatkan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariah dan akhlak maka dakwaan mereka itu boleh diragui. Al-Quran yang dibaca dan dihafal oleh majoriti umat Islam di seluruh dunia pada hari ini dengan nama mushaf resam uthmani merupakan satu-satunya versi al-Quran yang ada. Jika terdapat dakwaan sesuatu golongan itu mempunyai al-Quran yang lebih lengkap atau lebih sempurna, maka dakwaan tersebut menyerupai dakwaan golongan syiah yang terkeluar dari landasan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 327

message user image