BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

 Assalammualaikum wbt. Apakah hukum bagi wanita yg telah didatangi haid sehingga tempoh 40 hari tanpa henti solat selepas 15 hari kitaran haid sebenar. Dan apakah hukumnya jika teruskan bersolat,mengaji dan berjemaah di surau selama masih terdapat pendarahan walaupun melebihi tempoh kitaran. Mohon penjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya darah keluar berterusan melebihi hari ke 15, maka itu adalah darah yang bercampur antara darah haid dan istihadhah. Maka, perlu memastikan terlebih dahulu bilakah darah istihadhah bermula. Terdapat dua kaedah dalam menentukan darah haid dan istihadhah,iaitu 

  1. Kaedah Tamyiz: Membezakan darah yang keluar tersebut dengan melihat kepada sifat-sifat yang ada pada darah. Darah yang kuat (hitam) dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah (merah) dianggap sebagai darah istihadhah. Kaedah ini mesti didahulukan.
  2. Kaedah Adat: Jika tidak dapat membezakan jenis darah atau darah hanya bersifat satu warna sahaja (tiada beza) maka boleh ditentukan menggunakaan adat kebiasaan haidnya dengan merujuk kepada kitaran haid yang paling hampir (bulan sebelumnya). Sebagai contoh, adat haidnya 7 hari dan 23 hari adalah tempoh suci. Maka ia boleh ditentukan haidnya boleh jadi hanya 7 hari sahaja dan selebihnya adalah darah istihadhah. 

Setelah dipastikan bilakah bermulanya darah istihadhah, maka baginya boleh menunaikan solat, mengaji dan berjemaah di surau. Dalil yang diriwayatkan daripada Aisyah RA menerangkan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

إنى امرأة استحاض فلا أطهر افأدع الصلاة؟ فقال : لا، إنما ذلك عرق وليس بالحيضة فإذا أقبلت الحيضة فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم وصلي

Maksudnya : Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat? Rasulullah SAW menjawab: Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 744

message user image