BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalam Tuan Mufti,

Baru-baru ini saya dapat tahu saudara terdekat saya terlibat dengan Amalan Tarik Duit yang dikelolakan oleh sekumpulan orang Indonesia. Paling mengejutkan sudah banyak wang ya g dibelanjakan. Dapatnya tidak. 

Adakah Islam membenarkan amalan sedemikian? 

Terima kasih tuan mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Umat Islam mestilah menghindari diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat. Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi dan amalkanlah ayat-ayat al-Quran disamping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki dan keuntungan yang mendapat keberkatan.

Masyarakat kita mudah terjebak dengan mengikut jalan pintas bagi mendapatkan harta, tanpa memikirkan halal atau haram. Perbuatan tarik duit diyakini mempunyai hubungan bantuan dari alam ghaib untuk menolong orang dalam kesusahan, namun perlu memasukkan wang upah untuk melicinkan upacara berkenaan.

Oleh itu umat Islam perlu menjauhi amalan-amalan sebegini yang boleh merosakkan aqidah, tambahan pula amalan ini memerlukan kepada zikir-zikir  khas yang tidak difahami diikuti dengan amalan pemujaan tertentu yang haram di sisi agama. Hal ini kerana kebergantungan seseorang, beralih kepada bantuan makhluk selain Allah SWT. Ia adalah satu amalan yang khurafat yang boleh membawa kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 48:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.                               

Untuk itu, dalam kita mencari rezeki yang halal, hendaklah berusaha sama ada mengambil upah atas satu pekerjaan, jual beli, melabur dalam pelaburan patuh shariah dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 341

message user image