BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya tahu bahawa bercouple itu haram, tapi bagaimana kalau bercouple tetapi ianya diketahui oleh kedua dua ibu bapa? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, istilah bercouple sama ada diketahui oleh kedua ibu bapa pasangan atau tidak, tetap haram. Adapun jika kedua-dua ibu bapa telah mengetahui hubungan di antara anak masing-masing, alangkah bagusnya jika diaturkan dengan ikatan pertunangan, ia merupakan sunnah dan dianjurkan dalam Islam. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah)” (al-Baqarah : 235) Lamaran dan peminangan secara tidak langsung dapat mengenali dengan lebih dekat keluarga kedua-dua belah pihak. Bercouple tanpa tujuan dan matlamatnya adalah sia-sia dan berdosa, malah hubungan sedemikian mendekatkan kepada zina. Firman Allah SWT : Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). (al-Israa : 32) Begitu juga firman Allah SWT; Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka...” (an-Nur : 30-31) Sebagai lelaki dan perempuan yang beriman, dan mengetahui hukum hakam yang telah Allah SWT perintahkan, jadikanlah ia sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Semoga beroleh keberkatan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 103

message user image