BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Adakah jatuh talak sekiranya saya menyuruh isteri membuat pilihan samada saya atau ibunya tanpa saya melafazkan akan menceraikannya.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan, lafaz perceraian boleh dibahagikan kepada 2 jenis – (a) dalam bentuk jelas (soreh); (b) dalam bentuk tidak jelas atau sindiran (kinayah). Lafaz soreh ialah lafaz yang menggunakan ucapan yang jelas dan tegas dengan maksud menunjukkan makna perceraian. Contohnya : (a) “Aku talakkan engkau”; (b) “Aku ceraikan engkau dengan talak 1, 2 atau 3”. Dengan ucapan di atas, perceraian tetap berlaku antara keduanya walaupun tanpa niat pada pihak suami. Lafaz kinayah ialah suatu lafaz yang boleh bererti talak dan boleh pula membawa erti yang lain. Lafaz itu haruslah dilihat hubungannya dengan suasana sebelum dan sesudahnya serta tanda-tanda (qarinah) yang mempertegas erti yang dimaksudkan dan juga niat pihak suami. Contoh lafaz kinayah – (a) “Baliklah kamu kepada ibu bapa kamu”; (b) “Saya tak hendak kepada kamu lagi”; (c) “Mulai hari ini berpisahlah kita berdua”. Kesan perkataan-perkataan atau lafaz-lafaz seperti di atas bergantung pada niat suami yang melafazkannya itu. Jika dia berniat menceraikan isterinya, terjadilah perceraian. Sebaliknya, jika dia tidak berniat menceraikan isterinya, lafaz tersebut tidak memberi kesan perceraian. Rumusan dari penjelasan di atas, perkataan yang tuan lafazkan kepada isteri tidak termasuk dalam mana-mana bahagian talak samada soreh ataupun kinayah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 92

message user image