BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Bismillah,

Assalamualaikum wbt Tuan Mufti,

Saya ingin menanyakan soalan berkenaan pekerjaan yang saya baru sahaja mula bekerja pada awal tahun ini.

Sedikit mengenai skop kerja saya, syarikat ini merupakan syarikat multinasional yang berpengkalan di Perancis. Ia syarikat yang menjalankan kajian pasaran (market research) mempunyai lebih 90 pejabat di seluruh dunia. Saya ditugaskan untuk menjaga bahagian Asia Utara yang merangkumi negara seperti Korea, Jepun, Taiwan dan Hong Kong. Sebahagian besar client bagi syarikat ini adalah F&B (makanan & minuman), yang mana sekiranya mereka ingin memasarkan produk baru di negara mereka, mereka akan menggunakan khidmat syarikat saya untuk menjalankan kajian lapangan seperti survey dan sebagainya untuk mendapatkan respons awal pengguna terhadap produk yang akan mereka pasarkan.

Namun begitu, akan ada masa di mana client yang menggunakan khidmat syarikat saya adalah syarikat yang menjual minuman keras. Tugas syarikat saya adalah bagi mendapatkan respons awal pengguna terhadapan minuman beralkohol yang akan dipasarkan di negara mereka (bukan di Malaysia dan kebanyakan responden adalah bukan muslim bagi kawasan di bawah bidang tugas saya). Sebagai contohnya, soalan yang akan ditanyakan dalam survey itu adalah, 'adakah anda berminat sekiranya produk beralkohol berperisa Oren dipasarkan' dan soalan-soalan lain yang berkaitan produk baru tersebut. Tugas saya sendiri bukanlah yang membuat survey tersebut, tetapi sebagai sebagai Project Manager yang menjadi orang tengah yang memastikan kelancaran proses mendapatkan respons dan data pengguna sampai pada client dalam masa yang telah dijanjikan untuk mereka lihat respons pengguna sama ada mahu dipasarkan produk tersebut ataupun tidak. 

Yang menjadi kerisauan saya adalah sekiranya bidang kerja saya ini termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah swt seperti yang disebut dalam hadith Nabi SAW? 

Diharap persoalan saya ini mendapat pencerahan daripada pihak Mufti Selangor dan dapat membantu saya mudah-mudahan amin.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umum orang Islam tidak dibenarkan terlibat dengan apa-apa aktiviti yang melibatkan sebarang urusan yang berkaitan dengan arak, namun dalam keadaan tiada pilihan disebabkan bekerja dengan syarikat bukan Islam maka sebaiknya berbincanglah dengan pihak pengurusan untuk kerja-kerja tersebut dilaksanakan oleh pekerja bukan Islam. Jika tidak dapat dielak juga maka pendapatan tersebut termasuk di dalam pendapatan yang bercampur antara kerja yang halal dan kerja yang syubhah dan ia perlu dibersihkan dengan mengeluarkan nilaian yang munasabah bagi kerja yang dilaksanakan dan disalurkan ke baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri-Negeri bagi tujuan pembersihan. Pembersihan ini adalah bagi memastikan tiada unsur-unsur syubhah di dalam hasil kerja yang telah dilakukan. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang dieriwayatkan daripada Nu'man Bin Bashir bahawa Rasulullah SAW bersabda :

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya : “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang perkara syubhah maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 75

message user image