BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya berumur 49 tahun dan isteri 46 tahun. Saya bekerja sendiri dan Isteri tidak bekerja. Kami mempunyai 9 orang anak ( 8 sihat ) dan seorang anak istimewa berumur 4 tahun dan pemegang kad OKU JKM yang mengalami penyakit jarang jumpa yang membataskan pergerakan fizikal dan percakapan serta tidak berkemampuan hidup sebagai kanak-kanak biasa yang sebaya dengan umur nya. Dan buat masa ini anak kami mendapatkan rawatan  di Hospital Ampang dan Hospital KL untuk rawatan fisioterapi, mata, terapi percakapan dan genetik. Mengikut kata pakar Genetik di HKL, anak istimewa kami adalah masalah dari segi genetik yang tidak tahu punca dan sebabnya. Pakar Gentik juga menyatakan bahawa keberangkalian untuk mendapat anak yang OKU ada (50-50) di masa hadapan jika isteri saya didapati mengandung lagi. Isteri saya juga mempunyai masalah kesihatan tulang belakang dan juga masih mendapat rawatan di Hospital di atas. Setelah berbincang dengan Doktor Genetik dan Isteri dan melihat tahap kesihatan isteri saya serta faktor umur yang melebihi 45 tahun ( berisiko tinggi untuk melahirkan anak )  dan masalah genetik di pihak saya dan isteri, Kami bercadang untuk membuat perancang keluarga dengan mengikat saluran peranakan sehingga Isteri saya Menopause. Apakah hukum tentang perancang keluarga ( iaitu dengan mengikat saluran peranakan) di atas di dalam masalah kami ini ?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-12 yang bersidang pada 20 Februari 1977 telah membincangkan Rancangan Keluarga. Persidangan telah memutuskan bahawa Rancangan Keluarga mengandungi tiga bahagian, iaitu:

  1. Memandulkan lelaki atau perempuan hukumnya adalah haram.
     
  2. Mencegahkan beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang-orang perseorangan.
     
  3. Menyusun keluarga dari segi kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang lain daripada (a) dan (b) di atas adalah harus.

Berdasarkan keputusan di atas hukum asal mengikat salur peranakan dengan tujuan untuk tidak mendapatkan zuriat adalah diharamkan kerana ia bertentangan dengan fitrah serta bertentangan denga maksud hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Sa`id bin Hilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَنَاكَحُوا، تَكْثُرُوا، فَإِنِّي أُبَاهِي بِكُمُ الْأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَ

Maksudnya: Bernikahlah kalian, dan peramaikan bilangan kalian, kerana aku akan berbangga dengan kalian atas ramainya umatku nanti di Hari Kiamat.

Namun begitu, kaedah di atas adalah harus sekiranya mendapat nasihat daripada doktor pakar muslim atas alasan kesihatan yang berkemungkinan boleh membahayakan nyawa ibu atau bayi yang dikandung jika berlaku kehamilan.

Sekian, terima kasih.  

والله أعلم بالصواب

   


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 93

message user image