BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada 1 pertanyaan tentang duit insurans selepas kematiannya pencarum . Arwah ibu mentua saya ada meninggalkan duit insurans (hibah) . Semasa mencarum insurans tersebut , beliau telah berpesan kepada isteri saya untuk menggunakan wang tersebut untuk digunakan bagi membesarkan cucunya seramai 2 orang yang beliau pelihara dari kecil lagi jika dia meninggal dunia. Insurans ini dia tidak sempat untuk meletakkan penama . Tiba-tiba berlaku sedikit perselisihan faham tentang duit insurans ini apabila ibu kandung (telah berkahwin lain)kepada 2 orang ini telah menuntut kesemua duit insurans ini dan telah mengambil anak-anaknya seramai 2 orang untuk dibawa pulang selepas 7-8 tahun dia membiarkan arwah ibu mentua dan isteri saya menjaganya . Adakah duit ini boleh dibahagikan untuk anak-anak arwah seramai 3 orang termasuk isteri saya , abang sulungnya dan ibu kandung kepada 2 orang kanak-kanak tersebut atau wajib kami menunaikan amanat arwah mentua saya supaya duit ini digunakan untuk membesarkan cucunya dengan memberi kesemua wang tersebut kepada ibu kandung mereka , ini kerana kami bimbang jika kesemua duit insurans ini dibagi terus kepada ibu kandung mereka , akan berlaku salahguna wang tersebut kerana ibu kandung mereka dan bapa tiri mereka tidak bekerja . 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, oleh kerana arwah mentua mengambil insurans hibah dan  tidak meletakkan sebarang penama, maka ia hendaklah diagihkan secara faraid. Terlebih dahulu warisnya (anak-anak) hendaklah selesaikan hutang-hutang arwah, urusan kos pengurusan jenazah, fidyah, zakat, haji (jika berkemampuan dan belum menunaikan haji) dan wasiat sebanyak 1/3 daripada harta si mati (jika ada). Pesanan arwah mentua kepada isteri tuan, adalah  difahami agar beliau menggunakan wang tersebut untuk membantu membesarkan 2 orang cucu tersebut dan bukannya menyerahkan wang tersebut kepada mereka.

Semua harta simati hendaklah  diagihkan mengikut faraid kepada suaminya (jika ada), ibu bapanya (jika masih ada), anak lelaki dan anak perempuannya.   2 orang cucu tersebut layak mendapat bahagian melalui pelaksanaan wasiat wajibah sebagaimana fatwa selangor menyatakan: "Pelaksanaan wasiat wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut : (i) Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima wasiat wajibah."

Bagaimanapun sekiranya caruman insurans tersebut adalah insurans konvensional dan bukan takaful, wang tersebut adalah wang yang tidak patuh syariah dan perlu diserahkan kepada pihak Baitul Mal negeri melainkan modalnya sahaja.

Selanjutnya tuan juga boleh dapatkan maklumat berkenaan faraid melalui :  

Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor, Tingkat 10, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-5514 3773 / 03-55143772 / 03-55142190 / 03-55143570

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 96

message user image