BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum w.b.t. Saya terbaca hadis riwayat Imam Ahmad, bersanad dari Abu Hurairah r.a. tentang galakan mandi selepas memandikan jenazah. Hadis ini dinyatakan status sebagai hasan. Soalan saya, adakah ini menjadi dalil kepada kepercayaan badi mayat? Adakah badi mayat wujud? Jika tidak, adakah badi mayat dikira sebagai khurafat, dan apa dalil yang menentangnya? Sekian terima kasih, wallahu'alam.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, hadis tersebut tiada kaitannya dengan kepercayaan badi mayat. Ianya hanya anjuran Nabi SAW untuk membersihkan tubuh badan setelah menguruskan jenazah. Hukum mandi tersebut adalah sunat. Ada pun badi mayat adalah kepercayaan karut masyarakat melayu dahulu kala. Namun telah dikikis sedikit demi sedikit dengan datangnya agama Islam yang membawa manusia daripada jahil kepada manusia yang berilmu. Walaupun al-Quran tidak menyebut secara khusus tentang khurafat, namun sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT, mestilah percaya hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi nikmat mahupun bala. Berdasarkan kepada firman Allah SWT; Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal". (at-Taubah : 51) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 2003

message user image