BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Asalamualaikum.

Ayah saya pernah memakai susuk. Sekarang ini susuk tersebut telah tidak berfungsi. Tetapi susuk tersebut masih tertanam dalam badan beliau.

Ayah saya pernah buat pembedahan kecil untuk membuang susuk tersebut. Tetapi tidak kesemuanya. 

Masalahnya sekarang, ayah saya telah berusia dan ada kencing manis. 

Qpakah masih wajib bagi ayah saya membuang susuk tersebut. Di khuatiri mendatangkan mudarat pada beliau jika dilakukan pembedahan kecil untuk membuang baki susuk tersebut.

 

Terima kasih

Asalamualaikum


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Sebagai muqaddimah, Islam amat melarang keras perkara-perkara yang boleh mendatangkan kesyirikan kepada Allah SWT. Ini adalah kerana, Allah SWT tidak akan mengampun dosa syirik jika pendosa tersebut tidak bertaubat dan kembali kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Nisa’: 48:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا (48)

Bermaksud:Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”.

Di antara perbuatan syirik adalah melakukan jampi serapah, membuat azimat, tangkal serta minyak pengasih. Ini termasuklah memakai susuk yang mana ia melibatkan pemujaan serta memohon bantuan dari jin mahupun syaitan. Di riwayatkan dari Ibnu Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 (إن الرقى والتمائم والتولة شرك)

Maksudnya: “Sesungguhnya jampi mantera, tangkal/azimat dan ilmu pengasih adalah syirik”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Merujuk kepada soalan tuan, hukum asal membuang susuk itu adalah wajib. Walau bagaimanpun, sekiranya kaedah membuang boleh mendatangkan kemudharatan yang lebih besar atas faktor kesihatan atau sebagainya, maka diberi kelonggaran untuk tidak membuangnya.Ini berdasarkan kaedah Fiqah :

1)  ارتكاب أخف الضررين

Bermaksud : “ Mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudharatan. ”

2)  ‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Bermaksud : " Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat ."

Dalam hal ini, adalah disarankan agar tuan mendapatkan pandangan dari pakar perubatan atau sebagainya bagi mengetahui serta memastikan kesan  kemudharatan yang mungkin berlaku sekiranya  ayah tuan  jika ingin melakukan sebaran pembedahan membuang baki susuk tersebut.

 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 243

message user image