BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum, saya ada persoalan. benarkah terdapat mazhab yang lain selain 4 mazhab utama yang sedang digunakan pada masa sekarang? jika ya apakah mazhab tersebut dan apakah yang menyebabkan ia tidak lagi wujud dan diamalkan pada masa ini.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Secara umumnya mazhab dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu mazhab dalam bidang akidah dan fiqah. Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ianya cenderung kepada mazhab fiqah.

Menurut sejarah perkembangan mazhab fiqah pada zaman imam - imam mujtahid, terdapat empat mazhab fiqah yang masyhur kerana memiliki kitab-kitab rujukan yang sistematik dan pengikut yang ramai dan kekal sehingga ke hari ini iaitu;

Mazhab Hanafi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah al-Nu'man bin Thabit RA (80H - 150H), Mazhab Maliki yang diasaskan oleh Imam Malik bin Anas RA (93H - 179H), Mazhab Syafi'i yang diasaskan oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i RA (150H - 204H), dan Mazhab Hanbali yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal RA (164H - 241H).

Terdapat juga mazhab fiqah yang lain adalah seperti; 

Mazhab Sufyan al-Thauri, Mazhab Daud al-Zohiri, Mazhab Imam al-Auzai'i dan Mazhab Imam Laith ibn Sa'ad. Mazhab-mazhab ini hampir tiada pengikut disebabkan kekurangan kitab rujukan yang boleh dipelajari serta ketiadaan ulama mazhab mereka yang masih mengamalkan manhaj mazhab tersebut. Namun begitu, pandangan mereka masih boleh didapati dalam karangan ulama mazhab yang empat dan ada kalanya pandangan dan ijtihad mereka dilihat sesuai dan diterimapakai dalam situasi tertentu. 

Adapun aliran atau firqah Syiah seperti Al-Ja'fariyyah dan Al-Zaidiyyah, serta aliran Mu'tazilah seperti Al-Ibadhiyyah, pada asalnya merupakan firqah akidah, yang mana mereka turut mempunyai fahaman fiqah mereka masing-masing yang diamalkan oleh pengikut-pengikut mereka. 

Bagi kita, sebagai orang awam yang berada di Malaysia, kita telah beramal dengan mazhab Shafi'i sejak sekian lama. Adalah wajar bagi orang awam untuk berpegang dengan satu-satu mazhab bagi mengelakkan berlaku kecelaruan dalam amalan seharian serta ibadah umat Islam di Malaysia.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 219

message user image