BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada 2 soalan yang ingin ditanyakan.

1. Sewaktu belajar di universiti dahulu, saya selalu membeli duit syiling perak melalui internet dimana saya akan membuat pembayaran hari ini dan syiling tersebut dihantar melalui pos, kadang kala esoknya sampai, kadang kala selepas seminggu. Saya diberitahu oleh rakan bahawa perkara itu jatuh dalam perkara yang dilarang. Syiling-syiling itu masih berada dengan saya. Jika begitu, bagaimanakah cara untuk saya menyucikan syiling-syiling perak yang telah saya beli itu?.

2. Ibu saya mempunya pinjaman ASB secara konvensional yang dilakukan hampir belasan tahun dahulu dan telah habis dibayar baru-baru ini. Cara ibu saya membayarnya ialah dengan menggunakan dividen ASB yang diperoleh tahun ini untuk membayar tahun hadapannya, disebut sebagai devidend rolling. Soalan saya, apakah hukum duit yang ada di dalam ASB itu sekarang kerana pinjaman yang dilakukan oleh ibu saya itu ialah secara konvensional?

Sekian, terima kasih kerana menjawab soalan-soalan saya. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Soalan pertama: Syiling perak merupakan item ribawi yang mana cara jual belinya mestilah secara lani atau on the spot iaitu penerimaan barang dan penyerahan duit dibuat pada waktu yang sama. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”. (Riwayat Muslim)

Adalah disarankan apabila melakukan pembelian barang ribawi seperti syiling emas atau perak untuk membuat akad jual beli selepas barang serta wang pembayaran telah sempurna penerimaannya. Ia boleh berlaku dengan 2 keadaan:

  1. Penjual menghantar syiling perak kepada pembeli. Apabila syiling tersebut sampai kepada pembeli, pembeli akan membuat pembayaran secara atas talian, dan apabila bayaran telah diterima oleh pembeli, maka mereka boleh membuat akad jual beli sama ada secara panggilan talipon atau pesanan ringkas.
  2. Pembeli membuat pembayaran kepada penjual, penjual akan memegang wang tersebut sebagai wakil. Kemudian penjual akan mengirim syiling perak tersebut kepada pembeli. Apabila pembeli menerima syiling tersebut, maka mereka boleh membuat akad jual beli sama ada secara panggilan talipon atau pesanan ringkas.   

Berdasarkan kepada apa yang telah berlaku, apa yang boleh pihak tuan lakukan adalah membuat akad jual beli kepada penjual, sama ada melalui panggilan talipon, pesanan ringkas atau apa-apa kaedah yang dianggap munasabah.

Soalan kedua: Pinjaman secara konvensional yang diambil untuk membeli unit-unit ASB merupakan perbuatan yang dilarang kerana ianya terlibat dengan urusan riba yang diharamkan dalam Islam. Ini jelas berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.

Manakala pembelian unit-unit ASB menggunakan wang hutang tersebut tidak ada kaitan dengan pinjaman konvensional yang diambil. Keuntungan dari unit-unit ASB itu adalah diharuskan berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan serta Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Tindakan yang pihak tuan boleh lakukan berkenaan pinjaman konvensional tersebut, antaranya:

  1. Melunaskan pinjaman konvensional tersebut dengan segera secara tunai, atau
  2. Membuat pembiayaan secara Islam bagi melunaskan pinjaman konvensional tersebut.

Di samping itu, bertaubatlah serta pohonlah keampunan dari Allah swt terhadap kesilapan yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 83

message user image