BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..sy nk bertnya tntg janji sy dgn Allah..

Dulu sy pernah berjanji dgn nama Allah sambil meletakkan al quran diatas kepala..berjanji tidak akan lagi mmbuat perkara tersebut..tetapi dlm tmpoh 1 bulan sy kembali mmbuat perkara itu..dan dlm tempoh 4 bulan kdpan sy tiba2 sakit teruk berlaku pendrhn dlm kepala scra tiba2..dan sekarang sudah 2 tahun sy dah tidak buat perkara itu slps sy sakit..

Soalan 1 : mcm mna cara yg btul untuk tebus jnji itu..sy dgr dari youtube jika langgr janji dgn Allah boleh di byr dgn mmberi 10 org fakir mknn..tp sy tidak mmberi mkn sbaliknya sy mmberi rm100 seorg untuk 10 org..dan pemberian itu sy minta tolong kwn sy mmbgi kepada org fakir..adakah apa yg sy buat tu dah btul?

Soalan 2 : adakah sakit yg sy dpt tudisebabkan sy langgar janji sy dgn Allah? Setiap kali sakit skrg  wlaupum dmm sy sering tringt tntg jnji tu..sy sgt takut nnt allah xampunkan sy smpai bila2 tntg janji tu..harap sgt ustaz/ustazah dpt tolong sy tntg ni.

Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya berjanji atas nama Allah bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ seperti billahiwallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdu llah bin Umar R.A bahawa, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”. Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Soalan 1: cara untuk membayar kaffarah (denda) kerana melanggar sumpah adalah berasaskan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya : “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.” 

Berdasarkan ayat di atas orang yang hendak melaksanakan kaffarah sumpah diberikan pilihan sama ada dengan memerdekakan seorang hamba sahaya atau memberi makan sepuluh orang miskin atau fakir atau memberi pakaian kepada mereka. Jika dia tidak mampu untuk melaksanakan salah satu daripada pilihan di atas, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari sebagai kaffarahnya.

Adapun membayar RM100 seorang kepada 10 orang miskin sebagai ganti memberi makan kepada 10 orang fakir atau miskin adalah memadai dan diterima. 

Soalan 2: Berkaitan sakit yang dialami, secara umum setiap penyakit yang menimpa seseorang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah SWT. Tiada orang yang mampu mengelak sebarang ketentuan yang telah Allah tetapkan. Anggaplah ianya sebagai penebus dosa kerana berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: "Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan (dosa), dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan (dosa) adalah orang yang bertaubat". (Riwayat al-Tirmizi)

Sama ada ianya adalah kesan daripada melanggar sumpah atau tidak, tiada siapa yang dapat mengesahkan perkara ini. Perbanyakkan istighfar serta amalan-amalan sunat yang lain sebagai tanda taubat kepada Allah SWT atas kesilapan yang telah dilakukan. Yakinlah sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. .

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

والله أعلم بالصواب

 

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2021
Jumlah Pelawat : 194

message user image