BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Baru-baru ini saya ada membaca buku berkenaan LAW OF ATTRACTION (HUKUM TARIKAN), KUASA MINDA SEPARA SEDAR DAN TARIK KEKAYAAN DENGAN KUASA MINDA. Dalam buku ini diterangkan bagaimana cara untuk kita mendapat apa yang kita mahukan dengan langkah-langkah, tips dan kaedah yang tertentu. Untuk meningkatkan kuasa minda, antara teknik yang dilakukan adalah meditasi, hipnosis,affirmation dll.

Selain daripada itu, dengan minda separa sedar kita mampu untuk melihat aura, psikoterapi dengan tenaga prana, telekinesis, pengembaraan jiwa, magnetisme dan pelbagai lagi.Persoalannya adakah LAW OF ATTRACTION dan Kuasa Minda  ini menyimpang daripada akidah kita dan menafikan qada dan qadar?

Saya dapati banyak seminar terutama berkaitan motivasi mengunakan hukum tarikan ini. Mohon pencerahan.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

“Law of Attraction” yang diterjemahkan sebagai “Hukum Tarikan” mula diperkenalkan oleh seorang penerbit TV warganegara Australia bernama Rhonda Byrne melalui sebuah buku bertajuk “The Secret” yang diterbitkan oleh Simon & Schuster Ltd, United Kingdom, pada 4 Disember 2006. Buku ini telah mendapat sambutan ramai yang menjadikannya “Bestseller” di seluruh dunia dan telah diterjemah dari Bahasa Inggeris ke banyak bahasa lain termasuk bahasa Arab.

Di dapati bahawa di dalam ajaran atau fahaman “Law of attraction” mengandungi beberapa prinsip yang bercanggah dengan ajaran Islam sehingga terdapat fatwa di beberapa negara Arab yang menganggapnya menyeleweng dan boleh merosakkan akidah Islam yang sebenar. Antaranya fatwa Syaikh Muhammad Saalih Al-Munajjid (https://islamqa.info/en/answers/112043/the-secret-and-the-law-of-attraction).

Di antara kesesatan ajaran “Law of Attraction” adalah:

1. Menganggap minda secara hakikat mempunyai kuasa untuk memancarkan gelombang ke alam semesta dan boleh menarik segala apa yang ada di alam ini. Seandainya gelombang yang dipancarkan oleh kuasa minda itu positif, maka ia akan menarik perkara yang positif. Sebaliknya jika gelombang yang dipancarkan adalah negatif, maka ia akan menarik perkara yang negatif. Kejayaan dan kekayaan yang diperolehi oleh manusia adalah hasil dari gelombang positif yang dipancarkan oleh minda. Manakala kegagalan dan kemiskinan yang dialami oleh manusia adalah kerana lemahnya gelombang positif yang dipancarkan. Oleh kerana itu, untuk mendapatkan kejayaan dan kekayaan di dalam hidup, manusia perlu mempelajari kaedah mahupun cara untuk minda dapat memancarkan gelombang positif yang kuat.

Fahaman ini menafikan peranan serta kekuasaan Allah SWT. Manusia dianugerahkan oleh Allah SWT akal untuk berfikir apa yang baik dan apa yang buruk bagi membuat suatu pilihan atau tindakan. Sama ada tindakan itu berjaya atau tidak semuanya adalah dengan keizinan dan kuasa Allah SWT. Manusia hanya berusaha dan Allah SWT yang menentukannya.

2. Mempercayai bahawa apa yang berlaku pada diri mahupun persekitaran adalah berpunca dari apa yang manusia itu fikirkan serta inginkan. Manusia adalah penentu kepada kehidupan mereka sendiri, sama ada baik mahupun buruk, tanpa ada pengaruh atau kuasa lain. Manusia adalah penentu dan pencipta takdir mereka sendiri. Bukan setakat penentu kepada takdir diri manusia itu sendiri, bahkan juga alam ini.

Kepercayaan ini menjadikan manusia seperti ‘tuhan’ yang menentukan segala apa yang berlaku di dalam kehidupan dan di alam ini. Ini secara tidak langsung menafikan qada’ dan qadar Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 12770

message user image