BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt wbt YBhg SS Dato'

Soalan :
Apakah hukum orang Islam menguruskan program-program kerohanian agama-agama lain?
Contohnya yang berlaku di jabatan-jabatan kerajaan terutama melibatkan kakitangan gred sosial, di mana kakitangan awam ini dikehendaki menganjurkan atau menguruskan program-program pemulihan (program kerohanian bukan islam) dengan memanggil sami-sami atau paderi-paderi untuk memberikan ceramah-ceramah agama kepada penganut mereka yang terdiri daripada klien jabatan tersebut (program untuk bukan islam)

Mohon YBhg SS Dato' dapat memberikan pencerahan kepada kami. Segala perhatian dan jasa baik pihak YBhg SS Dato' hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Sekian. Wassalam.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Dalam kehidupan berbilang bangsa seperti di Malaysia,  pendekatan yang boleh digunapakai adalah fiqh al-ta'ayush antara kaum dan agama yang berpaksikan prinsip kesederhanaan. Asasnya, pendekatan ini sebenarnya sudah wujud dalam peradaban Islam dan dipraktikkan sejak zaman Nabi SAW dan Khulafa' al-Rasyidin. Ini boleh dilihat menerusi beberapa petikan ayat al-Qur'an dan hadis Nabi SAW, di samping teladan Khulafa' al-Rasyidin menyantuni komuniti bukan Islam di negara Islam. Antaranya ayat al-Qur'an dan hadis yang menyentuh tentang kebebasan beragama, berlapang dada (tasamuh), keadilan antara muslim dan orang bukan Islam, suruhan berbuat baik dan saling menghormati, serta menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat bukan Islam. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang mana agama Islam tidak boleh bertolak ansur, terutamanya di dalam perkara yang boleh menjejaskan akidah atau keimanan umat Islam.

Dalam masa yang sama perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan. Namun begitu, agama Islam mempunyai batas-batas  yang perlu dijaga  untuk memelihara kesucian akidah kita. Berdasarkan soalan yang dikemukakan, haram bagi orang islam untuk melibatkan diri dengan peribadatan orang bukan Islam dalam perkara yang diketahuinya secara jelas akan menyumbang atau mempromosikan agama lain sebagaimana yang disepakati oleh ulama-ulama. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 2:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa dan pencerobohan.

Sebaiknya seorang muslim itu hendaklah berhati-hati dengan tidak melibatkan diri dengan perkara-perkara yang boleh membawa ke arah yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat  untuk memelihara akidah kita. Oleh yang demikian, seharusnya buatlah pilihan untuk tidak terlibat dengan perkara yang dilarang oleh syarak agar mendapat rezeki yang berkat. Berdasarkan kaedah Fiqah :

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.

Kesimpulannya, tuan/puan disarankan untuk berbincang dengan ketua jabatan untuk memohon pengecualian penyertaan dalam program kerohanian bukan Islam dan memilih tugasan yang lain. 

 

والله اعلم بالصواب

 

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 199

message user image