BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum..

Tuan\Puan, 

Saya mempunyai keraguan dari segi hari dan tarikh yang baik dalam Islam. Saya tidak mahu membuat kesimpulan kerana bimbang perbuatan saya akan disimpulkan syirik atau khurafat.

Apakah hari 'Rabu' adalah hari yang kurang baik untuk melakukan sebarang majlis atau sebarang aktiviti seperti memulakan suatu pekerja an atau sebagainya. 

Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Seorang muslim perlu mempercayai bahawa segala kebaikan dan keburukan yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah SWT. Hari, masa, tempat dan makhluk ciptaan Allah SWT tidak berkuasa menentukan sesuatu sama ada ianya baik atau buruk. Tindakan kita atau persepsi bahawa hari Rabu membawa keburukan adalah sebahagian daripada kepercayaan karut masyarakat Arab Jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Nabi Muhammad SAW telah diutuskan untuk membawa akidah yang benar, baginda telah menghapuskan kepercayaan karut ini dengan mengajak umat manusia beriman bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menentukan sesuatu sama ada baik atau buruk. Firman Allah SWT;

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad, sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakkal.

(Surah al-Taubah: Ayat 51)

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;

لا عَدْوَى ولا طِيَرَةَ، ولا هامَةَ ولا صَفَرَ

Maksudnya: Tiada (kepercayaan) 'Adwa, tiada Tiarah, tiada Haamah dan tiada Safar.

(Riwayat al-Bukhari)  

Hadis ini menceritakan berkaitan empat kepercayaan karut Arab Jahiliyah suatu ketika dahulu yang dihapuskan oleh Rasulullah SAW.

1.('Adwa): Arab jahiliyah percaya bahawa sesuatu penyakit yang dihidap oleh seekor unta boleh berjangkit kepada unta yang lain dengan sendirinya.

2.(Tiarah): Apabila mereka memiliki sesuatu perancangan, mereka akan melepaskan seekor burung, sekiranya ia terbang ke arah kanan maka itu menunjukkan nasib yang baik dan mereka akan meneruskan apa yang direncanakan. Sekiranya burung terbang ke kiri maka ia menunjukkan kecelakaaan bakal menimpa dan hasrat tersebut perlu ditangguhkan.

3.(Haamah): Mereka percaya jika burung hantu berbunyi di atas rumah tertentu, maka ia merupakan petanda salah seorang ahli rumah akan meninggal dunia.

4.(Safar): Mereka mencela bulan Safar kerana ia boleh mendatangkan musibah di antaranya adalah berlaku peperangan antara puak. 

Kedatangan Islam telah menafikan kepercayaan karut ini. Umat Islam perlu beriman bahawa setiap sesuatu adalah berlaku dengan kehendak dan izin Allah SWT. Dalam pada itu, Islam tidak menafikan sesuatu perkara mempunyai sebab dan musabbab untuk kita berikhtiar dan berusaha mencari sesuatu natijah yang terbaik dalam kehidupan dengan kepercayaan bahawa segala yang bakal berlaku hanya dengan kehendak dan izin Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 309

message user image