BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Salam Ustaz/ Ustazah.. saya ada beberapa kemusykilan

1. Adakah Roh orang Soleh boleh memasuki jasad manusia?

2. Apakah hukum terhadap mereka yg mempercayai nama Allah dan nama Nabi Muhammad boleh berada di tapak kaki?

 

3. Adakah akidah mereka yg mempercayai perkara diatas sesat? Apakah perlu dilakukan terhadap mereka yg mempunyai kepercayaan sebigini

 

Tk


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Mereka yang telah mati meninggalkan kita, roh mereka tidak mungkin kembali ke dunia lagi. Sama ada kembali untuk menziarahi ahli keluarganya, membalas dendam ataupun dari segala macam perbuatan manusia lain yang masih hidup. Sama ada roh itu dalam keadaan baik ataupun buruk.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Mu'minun, ayat 100:

وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). 

Barzakh bermaksud penghalang atau tembok kukuh yang tidak dapat ditembusi. Ia merujuk kepada suatu alam yang memisahkan di antara alam dunia dan alam akhirat, yang mana apabila telah dilalui oleh manusia, mereka tidak akan dapat kembali lagi ke alam dunia.

Firman Allah ﷻ lagi di dalam surah al-Zumaar, ayat 42:

ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلۡأَنفُسَ حِينَ مَوۡتِهَا وَٱلَّتِي لَمۡ تَمُتۡ فِي مَنَامِهَاۖ فَيُمۡسِكُ ٱلَّتِي قَضَىٰ عَلَيۡهَا ٱلۡمَوۡتَ وَيُرۡسِلُ ٱلۡأُخۡرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمًّىۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ 

Maksudnya: Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Ayat di atas juga menjadi dalil yang menunjukkan bahawa roh orang yang mati tidak akan kembali, bahkan Allah ﷻ yang berkuasa menahannya dari kembali ke dunia. Ini sepertimana riwayat daripada Sa’id bin Jubair Rahimahullah (tabi’en) dan juga anak murid kepada Ibn ‘Abbas RA yang mana mengatakan bahawa telah dikumpulkan di antara roh-roh orang yang hidup dan yang telah mati (di dalam mimpi) kemudian Allah  ﷻ menahan roh orang yang telah mati dan melepaskan roh orang yang hidup kepada jasadnya semula. Ianya juga adalah pendapat Ibn Zaid Rahimahullah. 

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Hadis riwayat Jabir RA:

قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ  إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya: Telah berkata kepadaku Rasulullah ﷺ: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘azza wa jal telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa nereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa seseorang yang telah mati tidak akan kembali ke dunia. Ianya adalah ketetapan daripada Allah ﷻ.

Kesimpulan

Setelah melihat kepada nas-nas yang ada beserta pendapat para ulama’, menunjukkan bahawa roh tidak mampu untuk pulang ke dunia kerana ianya berada di satu alam yang dinamakan barzakh dan ianya sudah pasti tidak mampu untuk memasuki jasad manusia lain sepertimana persoalan yang dinyatakan di atas.

2.  Nama-nama Allah SWT dan nama Nabi Muhammad SAW adalah antara kalimah mulia yang wajib diperlihara kemuliaan dan kehormatannya. Oleh yang demikian, kepercayaan bahawa nama Allah dan nama Nabi Muhammad boleh berada di tapak kaki adalah semacam suatu bentuk penghinaan kepada nama-nama Allah dan nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mulia tersebut. Kepercayaan atau perbuatan seumpama ini adalah HARAM kerana bimbang akan membawa kepada unsur penghinaan.

3. Hendak menentukan akidah seseorang itu sesat atau menyeleweng memerlukan penelitian dan penilaian yang sangat teliti dan cermat. Kaedah siasatan, dialog dan sesi pendengaran antara pihak berkaitan dan pasukan pakar akidah akan dilaksanakan bagi menentukan sesuatu ajaran atau kefahaman itu sesat atau sebaliknya. 

Sekiranya kita dapati ada sesiapa sahaja yang kefahaman, amalan dan ajaran yang dilakukannya semacam berbeza (perbezaan yang ketara) dengan amalan umum umat Islam di Malaysia, maka kita boleh membuat aduan dengan kadar segera ke mana-mana Jabatan Agama Islam yang berhampiran, supaya tindakan segera dapat dilakukan bagi mengesahkan atau mengenalpasti samada kefahaman itu sesat atau sebaliknya, di samping dapat membendung dengan segera daripada meluas tersebarnya kefahaman itu sekiranya ianya menyeleweng.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 200

message user image