BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

 

Baru-baru ini saya sekeluarga (saya, isteri, dan anak seorang) telah dijangkiti dengan penyakit COVID-19. Ibu mertua saya telah berjumpa dengan "Ustaz" yang beliau selalu berjumpa untuk memperoleh "air penawar" (katanya air bacaan ayat al quran). Sebelum beliau berjumpa dengan "Ustaz" tersebut ibu mertua saya bertanya kepada saya nama ibu kandung saya untuk diberi kepada "Ustaz" tersebut sebagai process untuk berubat, tetapi saya tak berikan kerana berasa ragu (takut rosak akidah). Ibu mertua saya tetap berjumpa dan teruskan berurusan untuk bagi pihak isteri dan anak saya tanpa pengetahuan saya. 

Dan kini isteri saya beritahu saya mengenai perkara ini dan mengatakan "Ustaz" tersebut beritahu kepada ibu mertua saya yang anak saya yang berumur 3 tahun perlu dipeluk ketika tidur kerana "Ustaz" tersebut mendakwa yang anak saya mempunyai paru paru sejuk. Bila saya dengar saya menjadi ragu ragu bagaimana seseorang yang tidak pernah berjumpa dengan anak saya tapi mendakwa anak saya ade paru paru sejuk yang sedangkan saya sendiri pon tak tahu. Adakah wujud kelebihan seperti ini untuk seorang "Ustaz" dan adakah ini yang dikatakan ilmu kasyaf? Adakah wujud manusia selain Nabi-nabi mengetahui sesuatu yang ghaib?

Dalam Surah An Naml ayat 65: 

Terjemahan

Katakanlah (Muhammad), “Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang gaib, kecuali Allah. Dan mereka tidak mengetahui kapan mereka akan dibangkitkan.”

"Air penawar" tersebut masih belum berada pada kami kerana kami masih berkuarintin. Adakah patut kami minum dan percaya pada kaedah/ikhtihar ini ataupun ini adalah sesuatu yang syirik dan dibenci oleh ALLAH SWT. Mohon pecerahan.

 

Nota tambahan: Ibu mertua memang gemar berjumpa dan berhubungan dengan "Ustaz" tersebut. Walaupon mimpi buruk turut berjumpa dengan "Ustaz" itu untuk pencerahan. Saya dilahirkan dalam keluarga yang modern tapi cukup agamanya, bila lihat pada ibu mertua sebegini saya rasa sangat tidak kena dengan cara hidupnya yang begini terlampau percayakan yang ghaib dan berurusan dengan "Ustaz" tersebut. Dahulunya isteri saya ada ketumbuhan dibuah dada pon disuruhnya "Ustaz" tersebut untuk pembedahan jarak jauh (secara ghaib). Bila ditanya mndakwa "Ustaz" tu guna ayat Al Quran. Ibu mertua saya seorang yang baik dan saya faham dia pon berniat baik. Apakah cara terbaik untuk menasihati ibu mertua saya dalam perkara ini tanpa menyakiti hati sesiapa.

 

Terima Kasih, Assalamualaikum,

Faeez 

Hamba ALLAH SWT

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين الصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين ، أما بعد

Rawatan sesuatu penyakit di dalam ilmu perubatan Islam boleh dilakukan melalui tiga cara. Pertama melalui ubat-ubatan fizikal, Kedua melalui ubat-ubatan metafizikal dan yang ketiga melalui gabungan kedua-dua unsur fizikal dan metafizikal. Ubat-ubatan fizikal ialah seperti madu, air zamzam, panadol dan segala jenis perubatan moden yang terkini. Manakala ubat-ubatan metafizikal pula ialah bacaan-bacaan ayat suci Al-Qur'an, doa dan zikir. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 82:

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya:" Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur'an, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya".

Akan tetapi, jika ada rawatan yang menggunakan selain dari ayat-ayat Al-Qur'an dan menggunakan bahasa-bahasa yang ganjil yang tidak diketahui maknanya atau menggunakan simbol-simbol atau ukiran-ukiran tertentu, maka jelas ia adalah amalan perbomohan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Sesungguhnya amalan perbomohan yang bercanggah dengan syariat Islam boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah SWT. Ia adalah satu dosa yang amat besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT, Sewajarnya bagi kita sentiasa berwaspada dengan pelbagai pihak yang menggunakan title "Ustaz" untuk menggelabui orang ramai kegiatan menyeleweng yang mereka lakukan. 

 Kita juga mesti berwaspada dengan kegiatan perbomohan yang bercanggah dengan syariat Islam kerana telah banyak didapati kes-kes penyelewengan akidah yang berpunca daripada aktiviti perbomohan. Perbomohan adalah cara yang mudah untuk menyesatkan manusia dan mudah mempengaruhi golongan yang sangat fanatik sehingga tidak perlu lagi kepada perubatan moden, walhal perbuatan mengenepikan semua ubat-ubatan fizikal adalah bercanggah dengan ajaran Islam.
Namun dalam hal ini, berusaha mencari penawar bagi menyembuhkan sesuatu penyakit merupakan perkara yang dianjurkan dalam Islam. Ibnu 'Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

تَدَاوَوْا عِبَادَ اللَّهِ، فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً إِلَّا الْهَرَمَ

Maksudnya: "Berubatlah wahai hamba Allah, Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan juga penawarnya kecuali tua".

(Riwayat Ibnu Majah) 

Namun anjuran untuk mengubati penyakit terbatas kepada kaedah yang diharuskan menurut Hukum Syarak dan jauh dari kepercayaan syirik atau meragukan. Yakinlah ketika berusaha  mencari penawar bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa menyembuhkan segala penyakit. Adapun jika kaedah perubatan yang digunakan tidak jelas, maka perkara tersebut lebih utama untuk ditinggalkan kerana dikhuatiri melibatkan perkara meminta pertolongan selain Allah SWT. Sebagai anak atau menantu, teguran yang penuh berhikmah amat penting bagi memastikan Hukum Syarak dan hubungan silaturahim sentiasa dijaga.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 198

message user image