BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, kadang kadang ketika saya bersendirian, kerap dalam hati berkata-kata perkataan menghina/mengeji Allah dan nabi Muhammad. Kadang kadang saya risau kalau kalau saya ada melafaz tanpa saya sedari. Tetapi saya tetap juga yakin dengan Islam dan mengamalkan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang. Cuma saya risau, boleh jadi murtadkah saya disebabkan benda ni iaitu kata kata hati dan mungkin satu masa nanti akan terlafaz. Apakah amalan yang saya boleh buat. Saya pernah berubat dan ustaz tu bagitahu saya ada penyakit lintasan hati. Harap tuan dapat membantu saya.


message user image

Jawapan  

Lintasan hati merupakan satu keadaan yang berlaku kepada ramai orang, malah mungkin semua orang. Bezanya dari segi mengawal dan mengurus lintasan hati yang bersifat negatif seperti yang saudara alami. Untuk itu saudara perlu berusaha “melawan” lintasan-lintasan tersebut; i. Dengan sentiasa berzikir kepada Allah SWT. ii. Tidak “melayan” lintasan-lintasan tersebut dengan fikiran dan perasaan, sebaliknya gantikan dengan perkara-perkara yang baik, dengan meningkatkan kerja-kerja amal soleh/ ibadat. iii. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kebajikan serta elakkan berada bersendirian dalam tempoh yang panjang. iv. Dapatkan rawatan dan nasihat kaunselor bertauliah. Lintasan yang tidak dengan kehendak saudara, tidak diambil kira dari segi hukum, dan tidak berlakulah hukum-hukum murtad kepada saudara, bagaimanapun ia hendaklah diusahakan untuk tidak dibiasakan berterusan, ditakuti secara tidak sedar akan dilafazkan. Oleh itu hendaklah sentiasa memperbaharui syahadah dengan mengucap kalimah syahadah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Perbaharuilah iman kamu” Rasulullah ditanya :”Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami?”. Rasulullah SAW jawab : “Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (رواه أحمد والحكم والطبراني). Allah Maha Pengampun. Pengampunan (Rahmat) Allah mengatasi kemurkaannya. Wallahu ta’ala a’lam. Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 521

message user image