BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Adakah batal iman atau jadi kafir jika melihat apa-apa cerita filem atau kartun ada unsur perkara yang tidak wujud di dunia seperti kuasa sakti, raksasa, zombie, warna mata anime yang pelbagai dan sebagainya. Dan apakah hukum jika melihat cerita ada unsur tersebut? Ada dua soalan yang saya tanyakan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menonton filem fiksyen atau cerita rekaan yang mengandungi unsur perkara yang tidak wujud di dunia seperti kuasa sakti, raksasa, zombie bukanlah perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari agama Islam atau menjadi kafir.

Adapun hukum menonton filem atau cerita sedemikian pada asasnya diharuskan, selagi mana ianya tidak mengandungi sebarang unsur-unsur maksiat di dalamnya. Namun, hukumnya menjadi haram sekiranya ia melibatkan paparan imej atau watak yang berpakaian tidak sopan, menghabiskan terlalu banyak masa dan mengabaikan kewajipan dalam agama. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nur ayat 30:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ 

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 258

message user image