BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya mahu bertanya. 1. Ada ke ajaran Islam yang menyuruh membuang duit di pantai/laut? 2. Boleh ke kita membaca ayat Dari al Quran sebagai DOA tanpa mengikut tajwid yang betul? 3. Dalam membaca doa, orang Islam selalunya menadah tangan seperti yang di ajar oleh ustaz/Ustazah di sekolah. Bolehkah orang Islam berdoa seperti orang bukan Islam berdoa atau adakah cara2 lain orang Islam menadah tangan? 4. Saya pernah dengar ada seorang hamba Allah mengatakan bilik ini banyak syaitan dan perlu dibersihkan lalu dia terkumat membaca sesuatu. Tapi agak meragukan. Betul ke ada manusia dapat mengetahui dalam diri/orang lain/ sesuatu tempat mempunyai syaitan atau benda yang tidak baik? Mohon dapat menjawab soalan yang membelenggu minda saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, 1. Membuang duit di pantai/laut bukan dari ajaran agama Islam dan bercanggah dengan ajaran disebabkan amalan tersebut adalah membazir iaitu sewenang-wenangnya membuang duit ke dalam laut yang sepatutnya duit itu dibelanjakan bagi tujuan yang lebih bermanfaat. Perbuatan membazir adalah dilarang dalam Islam sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’: 27). Namun, paling ditakuti perbuatan tersebut memungkinkan terjerumus dengan syirik dan perlu berhati-hati dalam hal ini. 2. Wajib membaca al-Quran dengan bertajwid sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil” (Surah al-Muzammil: 4) Tartil bermaksud tajwid. Adapun dalam hal berdoa tidak menjadi kesalahan untuk tidak bertajwid, namun ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibaca secara tidak betul (baca: caca-merba). Ini kerana Bahasa Arab didatangkan sebagai bahasa yang unik, perinci dan sensitif. Terdapat di dalamnya baris dan makhraj (tempat keluar huruf) yang perlu dijaga supaya ia tidak mengubah makna sesuatu kalimah dan memberi kesan kepada doa yang ingin dibacakan. Secara tak langsung sebanarnya bacaan panjang dan pendek serta makhraj itu: adalah sebahagian dari tajwid cuma ia tidak terperinci sebagaimana ketika membaca al-Quran. Wallahualam 3. Menadah tangan ketika berdoa adalah adab semasa berdoa. Ia adalah lambang serta perilaku rendah diri seorang hamba memohon sesuatu kepada Tuhannya. Sebagaimana yang hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. ia katanya; Maksudnya : “Saya melihat Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangannya saat berdo’a hingga terlihat putih ketiaknya.” (Riwayat Muslim) Justeru menadah tangan semasa berdoa adalah Sunnah Nabi Muhammad SAW dan ia wajar diikuti dan menjadi amalan setiap orang Islam untuk berdoa. Adapun mengikut cara orang bukan Islam berdoa adalah dilarang sama sekali kerana ia berkait rapat dengan ritual sesebuah agama tersebut dan Islam sangat menegah perkara itu diamalkan. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”. (Riwayat Abu Daud) 4. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dalam keadaan kamu tidak dapat melihat mereka” (al-A’raf : 27) Ini menjadi dalil yang jelas sesungguhnya manusia tidak boleh melihat rupa asal syaitan dan sejenisnya. Adapun demikian, manusia masih mampu melihat makhluk halus dengan menyerupai bentuk lain termasuk bentuk manusia. Allah SWT juga berfirman yang bermaksud : “Dia mengetahui yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapa pun tentang yang ghaib itu. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)” (al-Jin : 26-27) Kesimpulannya adalah sangat jelas. Allah tidak memperlihatkan perkara-perkara ghaib kepada sesiapapun kecuali pada Rasul yang dikehendaki-Nya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 539

message user image