BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaum wbt. 

1. Apakah hukum seorang Islam membantu rakannya dari agama Hindu pergi ke kuil, menunggu rakannya hingga selesai beribadat Dan pulang bersama. 

2. Ada netizen membawakan analogi Arak dlm hal ini - yg membawa maksud jika Arak itu - yg bawa, susun, tolong buang, beli - semuanya dilaknat Allah belaka -; maka dlm Bab bawa rakan beribadat kpd berhala - yg terang2 syirik kepada Allah - tentunya lebih2 laknat Dan celaka. 

Soalannya : bolekah dibuat perbandingan demikian dlm Islam? 

Apakah pandangan atau tatacara Islam sebenarnya dalam menyantuni hal ini? (Rakan minta tolong ke kuil). 

Moga di bantu Allah. Terima kasih. 

Allahumma solli ala Muhammad, wa ala ali saidina Muhammad. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya perbezaan agama tidak menjadi penghalang untuk seseorang Muslim itu berlaku ihsan terhadap orang disekelilingnya terutama terhadap mereka yang bukan Muslim. Islam tidak sama sekali melarang kita daripada menunaikan hak kemanusiaan yang lain dan mewujudkan suasana yang harmoni antara satu sama lain tanpa mengira agama. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8;

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Namun demikian, Islam menggariskan batas-batas yang perlu dijaga bagi memelihara kesucian akidah Islam itu sendiri. Bantuan secara umum yang tidak sama sekali menjurus kepada kesyirikan secara langsung termasuk dalam bab ihsan sesama manusia yang sangat digalakkan dalam Islam selagimana mereka secara jelas tidak memerangi Islam. Adapun bantuan secara langsung sehingga dibimbangi boleh menjerumus seseorang ke arah kesyirikan jelas dilarang dalam Islam. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa dan pencerobohan.

Maka, dinasihatkan sebolehnya untuk seseorang Muslim mengelak terlibat secara langsung dan menawarkan diri sekiranya diminta untuk membantu dalam urusan ibadah orang bukan Islam kerana ia dianggap membantu secara langsung atau menggalakkannya untuk menyekutukan Allah SWT. Gunakan bahasa yang baik dan berhikmah kepada orang bukan Muslim yang meminta bantuan. Di samping itu, bantulah mereka dengan cara mencari alternatif lain sebagai contoh membantu mencari orang bukan Islam lain yang dapat membantu. Perkara ini juga dilihat sebagai suatu usaha dakwah bahawa Islam tidak membezakan bangsa atau agama di dalam memberi pertolongan.

Kesimpulan

Islam tidak sama sekali melarang kita daripada menunaikan hak kemanusiaan yang lain dan mewujudkan suasana yang harmoni antara satu sama lain tanpa mengira agama. Membantu orang bukan Islam dalam apa juga keadaan adalah merupakan satu usaha dakwah yang baik dan layak dipuji. Walau bagaimanapun, memelihara kesucian akidah Islam itu sendiri adalah keutamaan dalam hal ini. Dalam masa yang sama ia tidak menolak kenyataan bahawa seseorang Muslim itu hendaklah tetap berlaku ihsan dan berhikmah terhadap orang di sekelilingnya terutama terhadap mereka yang bukan Muslim.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 295

message user image