BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti, apakah hukum memakai baju bola yang telah diconteng tanda salibnya? Adakah masih haram? Terima kasih tuan mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan saudara, pada asasnya, kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti, lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka. (Riwayat Abu Daud)

Islam melarang memakai baju yang ada simbol salib dan hukum memakai baju itu haram. Ini kerana, Islam memandang serius dalam perkara berkaitan simbol salib. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Hitthan, bahawa ‘Aisyah R.Anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ

Maksudnya: Nabi SAW tidak meninggalkan satu barang pun yang masuk ke rumah Baginda, yang ada gambar yang bersalib, kecuali Baginda akan menghapusnya. (Riwayat al-Bukhari)

Perkataan Naqadhahu (نَقَضَهُ) membawa maksud memecahkannya, menghilangkannya atau mengubah gambar salib. Oleh itu, wajib seseorang itu menghilangkan atau mengubah simbol salib pada baju berkenaan. Seandainya gambar salib tersebut telah dipadam atau diconteng sehingga hilang kesan gambar salib tersebut, maka tidak menjadi kesalahan untuk memakainya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.  


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 162

message user image