BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan, ada pendapat menyatakan bahawa setelah berlaku kematian, semua barang-barang tinggalan arwah seperti baju dan barangan kemas perlu disedekahkan atau dijual kepada orang lain dan bukan diwarisii oleh ahli keluarga. Ini kerana terdapat kemungkinan terdapat 'saka' yang akan mengikuti barang-barang peninggalan arwah dan saka tersebut akan mengganggu waris yang menyimpan/menggunakan barangan arwah. 

Saya memohon pandangan dari tuan berkaitan pandangan ini.  Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan/tuan; pemahaman tentang maksud harta pusaka perlu dijelaskan terlebih dahulu. Harta pusaka atau al-tarikah (التركة) di sisi jumhur ulama’ bermaksud segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah seseorang itu mati. Oleh itu, berdasarkan maksud harta pusaka ini, harta seperti pakaian, alat tulis, jam tangan, perabot, barang perkakasan dapur dan sebagainya yang dipunyai oleh si mati juga termasuk dalam harta pusaka ini.

Sehubungan dengan itu, bagi menyelesaikan pengurusan harta kecil atau ringkas seperti ini hendaklah melalui muafakat bersama waris-waris yang layak. Pihak waris boleh mengenal pasti dan menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada harta yang bernilai rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Kemudian, berdasarkan keizinan atau pelepasan hak waris yang memberikan bahagiannya kepada waris yang lain (tanazul), para waris boleh berbincang untuk membuat keputusan sama ada;

  1. Mengekal harta asal dengan memilih sesiapa yang akan memiliki dan menggunakan harta kecil tersebut dalam kalangan waris-waris yang layak.
  2. Menukarkan harta ringkas tersebut kepada nilai (menjualnya) kemudian hasil jualan tersebut dibahagikan kepada waris-waris yang layak
  3. Menyedekahkan harta kecil tersebut sebagai pahala yang bersambung bagi pihak si mati

Adapun mempercayai terdapatnya 'saka' yang akan mengikuti waris seandainya waris mengambil barangan si mati seperti baju mahupun barangan kemas, ia merupakan kepercayaan khurafat yang boleh merosakkan akidah dan wajib dihindari. 

Perkara utama yang hendak dicapai melalui pengurusan harta dengan cara yang baik ini adalah untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Hal ini dapat dicapai melalui sikap bertoleransi para waris-waris dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Kesimpulan

Oleh itu, bagi pihak waris yang layak penting untuk mengenalpasti dan menyenaraikan terlebih dahulu harta-harta si mati daripada harta yang bernilai rendah sehinggalah harta yang tinggi nilainya. Hal ini kerana, kesilapan yang sering dilakukan dalam pengurusan harta ini adalah hanya mengambilkira harta yang bernilai tinggi seperti tanah, rumah, saham, dividen dan sebagainya. Sedangkan barang kepunyaan si mati juga yang kecil nilainya juga adalah harta yang boleh diwariskan kepada waris. Perkara ini penting supaya pihak waris mendapat haknya dengan cara yang benar di sisi syarak dan lebih berhati-hati daripada mengambil hak orang lain dengan cara yang batil. Tidak boleh mempercayai adanya 'saka' di dalam barang peninggalan si mati.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 332

message user image