BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum W.B.T

Saya mengikuti amalan zikir pada setiap hujung minggu bersama dengan satu kumpulan yang terdiri daripada 50 orang yang diketuai oleh seorang guru. Selepas zikir, kebiasaannya salah seorang dari kami akan dirasuk/dimasuki oleh entiti ghaib seperti Syaitan/Iblis. Guru kami akan berinteraksi dengan syaitan tersebut. Perbualan biasanya berkisar tentang kenapa kamu (syaitan) datang sini?, Kenapa suka kacau ahli kumpulan kami? Apa yang kamu mahu dari kumpulan kami?.. Syaitan tersebut akan jawab setiap apa yang ditanya oleh Guru kami. Sebagai contoh, aku (syaitan) susah nak ganggu ahli kumpulan kamu, kumpulan lain semua aku dah sesatkan. Kumpulan kamu ini bawa ajaran Islam yang benar, yang lain semua telah berjaya aku sesatkan. Persoalannya, bolehkan kita mempercayai apa yang dikata oleh syaitan tersebut?. Mohon pencerahan... Terima Kasih....


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Umat Islam sangat digalakkan untuk mengamalkan mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (سبحان الله), tahmid (الحمدلله), takbir (الله أكبر), tahlil (لا إله إلا الله), istighfar (استغفر الله) dan lain-lain. Mereka juga boleh memilih sama ada berzikir secara perlahan (al-sir), kuat (al-jahr), berseorangan, berjemaah, zikir lisan mahupun di dalam hati dengan jumlah bilangan yang diingini. Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, ingin kami nyatakan bahawa  apa-apa kata rasukan daripada syaitan pada tubuh seseorang manusia tidak boleh dijadikan hujah dalam sebarang urusan agama. Kebenaran agama hanya dapat dibuktikan selagi ia tidak bertentangan dengan landasan syarak yang benar. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: 

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Maksudnya: Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW). (Riwayat Imam Malik)

Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap tipu daya syaitan yang sering berusaha untuk menyesatkan manusia di atas muka bumi ini. Pelbagai perangkap yang digunakan hanya semata-mata ingin menggugurkan keimanan seseorang hamba. Justeru, kita perlu sentiasa meminta perlindungan daripada Allah SWT agar menghindarkan diri daripada terjerat ke dalam gangguan tipu daya dan perangkap syaitan.

Di samping itu juga, Islam adalah agama yang sangat mementingkan penjagaan diri yang bukan sahaja tertumpu kepada fizikal bahkan juga rohani. Penjagaan rohani perlu diisi dengan sebaiknya melalui amalan-amalan yang menambahkan keimanan kepada Allah SWT seperti mengamalkan zikir-zikir yang warid dan sebagainya. Perihal dalam beramal pula perlu dipastikan bahawa ia tidak bertentangan dengan konsep syarak dan tidak mempunyai unsur-unsur yang meragukan di dalam agama seperti pemujaan kepada syaitan, berdamping dengan jin dan lain-lain. Paling mudah untuk melihat satu-satu amalan itu adalah menyeleweng atau tidak adalah dari segi doktrin yang dibawa adakah ianya  bercanggah dengan akidahsyariah dan akhlak  Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Imam al-Shafie pernah berkata"Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah"Allah SWT telah kurniakan akal fikiran yang waras kepada manusia agar digunakan untuk menilai sesuatu perkara itu sama ada ia baik mahupun buruk. Maka pandulah akal tersebut mengikut neraca yang berlandaskan panduan syarak.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 224

message user image