BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

SALAM SEJAHTERA USTAZ?

ADAKAH BENAR SESEORANG MUSLIM YANG MENINGGAL DUNIA PADA HARI KHAMIS ATAU JUMAAT TERLEPAS SEKSA KUBUR ? JIKA IANYA BENAR, BOLEHKAH USTAZ SERTAKAN DALIL ATAU HADITH YANG MENYATAKAN BEGITU? TERIMA KASIH..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan persoalan tuan, hari Jumaat merupakan hari yang mulia dan juga hari raya buat umat Islam. Ini kerana, pada hari tersebut diwajibkan kepada umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat di masjid secara berjemaah yang mana tidak terdapat pada hari yang lain. Selain itu juga, pada hari Jumaat terdapat satu masa yang dimustajabkan doa bagi sesiapa yang berdoa kepada Allah SWT. Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيرُ يومٍ طَلَعتْ عليه الشمسُ يومَ الجُمُعةِ ، فيه خُلِقَ آدمُ ، وفِيه أُدْخِلَ الجنةَ ، وفيه أُخْرِجَ مِنها ، ولا تَقومُ الساعةُ إِلَّا في يومِ الجُمعةِ

Maksudnya: Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat. (Riwayat Muslim)

Disebabkan itu, timbul persoalan adakah terdapat kelebihan pada sesiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Berikut 2 hadis yang menceritakan akan kelebihan orang yang mati pada hari Jumaat.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur(Riwayat Ahmad)

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ

Maksudnya: Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur. (Riwayat al-Tirmizi)

Ulama' perselisih pendapat di dalam menilai status hadis di atas. Sebahagian ulama' mengatakan bahawa ia adalah hadis dhaif dan sebahagiannya mengatakan sebagai hasan li ghairihi, iaitu hadis yang pada asalnya berstatus dhaif berubah menjadi hadis hasan dengan sebab ada hadis-hadis dhaif lain yang menguatkan hadis tersebut. Antara ulama' yang membenarkan hadis tersebut adalah Imam Jalaluddin Al-Suyuti di dalam kitabnya Al-Lum'ah fi Khasais yawmi al-Jum'ah mengatakan bahawa: "Aman daripada azab kubur bagi orang yang mati pada hari Jumaat atau malamnya”.

Kesimpulannya, sekiranya dikatakan statusnya tetap kekal dhaif pun, ia hanya berkaitan dengan perkara fadha’il (kelebihan), iaitu kelebihan yang Allah berikan atas kemuliaan dan keberkatan hari Jumaat, sebagai salah satu tanda kesudahan yang baik (husnul khatimah) dan diharapkan orang muslim yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat akan terpelihara daripada fitnah kubur. Justeru itu kematian itu pasti bagi setiap insan yang bernyawa dan ajal itu akan datang pada bila-bila masa sahaja serta dalam keadaan tidak akan lambat atau cepat walaupun sesaat. Untuk itu, marilah sama-sama kita tingkatkan amalan kita dan persediaan kita untuk bertemu dengan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan mematikan kita dalam keadaan husnul khatimah. Amin.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 3015

message user image