BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Persoalan mazhab. Islam ada empat mazhab iaitu Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali. Di Malaysia, kita ikut mazhab Syafie. Tapi, mengapa kita tak ikut cara Rasulullah yg lebih afdal? Apa perbezaan antara satu Rasulullah dgn 4 mazhab? Harap mendapat jawapan. Jazzakallahu khoir khatira.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudara, apa yang perlu diketahui di dalam memahami isu yang dibangkitkan berkaitan kewujudan mazhab adalah dengan menelusuri kronologi atau sejarah ikhtilaf pendapat di dalam pembinaan hukum-hakam Islam. Bermula dengan perselisihan pandangan dalam kalangan sahabat dengan kewujudan Rasulullah SAW sehinggalah pelbagai perselisihan pandangan yang muncul dalam kalangan khulafak ar-Rasyidin dan sahabat-sahabat selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW. Dan berterusan perkara ini sehingga ke zaman-zaman seterusnya dalam kalangan tabi’in dan begitulah seterusnya sehingga masuknya era kewujudan mazhab. Semua sejarah ini penting untuk mendapat kefahaman yang lebih jelas tentang bagaimana mazhab-mazhab muncul. Kegagalan memahami ikhtilaf mazhab ini akan melahirkan tiga golongan iaitu golongan fanatik mazhab, golongan anti-mazhab dan golongan yang mutasahiiluun iaitu golongan yang bermudah-mudah di dalam bermazhab. Kewujudan mazhab adalah untuk memahami dengan tepat apa yang telah disebut, dilakukan dan di-iya-kan oleh Rasulullah SAW. Kesemua imam mazhab mahu beramal sama seperti apa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Amatlah mustahil para ulamak-ulamak mazhab dengan sengaja mahu melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Syafie: “Jika kamu dapati ada Sunnah Rasulullah yang bertentangan dengan pendapatku, maka ambillah Sunnah dan tinggalkanlah pendapatku kerana aku juga berpendapat sama seperti Sunnah itu”. Begitu juga Imam Ahmad Bin Hanbal mengulas tentang ijtihad: “Pendapat kami benar tetapi mungkin juga salah. Manakala pendapat yang salah tetapi mungkin juga benar”. Secara ringkasnya, ikhtilaf pendapat sehingga munculnya kepelbagaian pandangan mazhab adalah merupakan sebuah keistimewaan syariat Islam dan ianya bersandarkan kepada methode ijtihad dan bukannya berdasarkan hawa nafsu para ulamak. Namun begitu, walaupun para fuqaha dikagumi keilmuan mereka tetapi tidak bermakna semua ijtihad mereka adalah maksum dan sentiasa benar setiap masa. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 423

message user image