BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.

Adakah apabila jatuh sakitnya anak kecil itu berpunca dari  menanggung beban dosa-dosa orang tuanya?maksud saya, apabila anak itu sakit maka itu jalan penghapus dosa orang tuanya dan diangkat martabat orang tuanya jika dia bersabar.

Maaf sebab setahu saya,anak kecil itu bersih fitrah dari dosa.dan Allah swt tidak menganiaya hambaNya bagaimana mungkin anak kecil tiada dosa menanggung beban dosa orang tuanya.

Apakah teori ini benar dalam agama islam.mohon pencerahan dari ustaz.terima kasih ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya setiap individu tidak menanggung kesalahan atau dosa orang lain walaupun ahli keluarganya. Hal ini termasuklah dosa antara ibu bapa dan anak. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Fatir ayat 18:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا يُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَيۡءٞ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰٓۗ

Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.

Oleh itu, melalui pemahaman ini penyakit seseorang anak bukanlah berpunca dosa ibubapa atau orang lain. Penyakit yang dihadapi oleh anak adalah merupakan salah satu ujian Allah SWT kepada ibu bapa. Jika ibu bapa bersabar menghadapinya dan bertawakkal kepada Allah SWT maka dengan usaha itu akan menjadi ladang pahala dan menghapuskan dosa-dosa ibu bapa. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahwa  sabda Rasulullah SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاه

Maksudnya: Tidaklah menimpa seorang mukmin itu penderitaan, kesusahan, penyakit dan juga kesedihan, hinggalah kerisauan yang merunsingkan, melainkanakan dihapus dari dirinya kesalahan-kesalahan (dosa)nya. (Riwayat Muslim)

Walaubagaimanapun, perlu difahami bahawa hubungan antara ibu bapa dan anak adalah hubungan yang disertai dengan tanggungjawab. Jika ibu, bapa atau anak mengabaikan tanggungjawab antara satu sama lain maka akan menyebabkan dosa dan dipersoalkan di sisi Allah di akhirat kelak.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 183

message user image