BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,saya ada 2 soalan.

1)Pada zaman sekarang,banyak syarikat antarabangsa yang menunjukkan sokongan terhadap kumpulan lgbt.Syarikat tersebut juga amatlah terkenal dan ramai dari kalangan umat islam yang menggunakan produk keluarannya.Soalan saya,apakah hukum membeli barang dari brand yang menyokong lgbt seperti Nike,Adidas dan Versace.Adakah tidak dibolehkan walaupun kita tidak redo dengan lgbt dan tidak berniat untuk menyokong lgbt.Tambahan pula,jika kita tidak pasti sama ada keuntungan daripada pembelian kita akan digunakan untuk mempromosikan lgbt atau tidak.Saya harap pihak ustaz boleh perjelaskan dan memberi jawapan bagi soalan ini.

1)Apa hukum membeli produk yang diberi nama dewa atau tuhan bagi sesuatu kepercayaan.Sebagai contoh,sebuah minyak wangi keluaran Versace yang terkenal di seluruh dunia dan di Malaysia mempunyai nama "Eros" yang bermaksud tuhan cinta dalam kepercayaan Greek.Saya harap pihak tuan boleh perjelaskan apa hukum membeli produk seperti  ini.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Harus dan sah membeli barang daripada syarikat tersebut dengan syarat-syarikat tersebut tidak menjadikan aktiviti promosi kepada kemungkaran seperti LGBT itu sebagai tujuan utama penubuhan syarikat tersebut. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT yang melarang umat Islam menyokong usaha-usaha kemungkaran seperti dalam surah Al-Maidah ayat 2:

 وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

Walau bagaimanapun, sekiranya syarikat tersebut hanya menjadikan kemungkaran itu sebagai salah satu promosinya maka tidaklah menjadi kesalahan. Melarang secara total pembelian kepada syarikat seumpama itu juga akan mendatangkan masyaqqah (kesukaran) kepada umat Islam kerana tentunya banyak syarikat lain yang secara tidak langsung turut mempromosikan kemungkaran. Justeru sebagai umat Islam, sebaiknya elakkan daripada menyokong syarikat tersebut dan kita digalakkan untuk mengutamakan syarikat Muslim yang jelas mempromosikan kebaikan. Namun sekiranya matlamat penubuhan syarikat tersebut adalah untuk memperjuangkan LGBT atau seumpama dengannya, maka dilarang untuk berurus niaga dengannya.

2. Membeli produk tersebut juga sah dan harus. Sebagai pemilik syarikat, haram menamakan syarikat miliknya dengan nama-nama syaitan dan seumpamanya. Disebabkan syarikat itu dimiliki oleh orang bukan Islam, tentunya mereka tidak mempunyai panduan dalam perkara ini. Maka dosa dan kesalahan tersebut tidak berpindah kepada pembeli. Justeru, pembeli harus berjual beli dengannya selagi mana cukup syarat sah jual beli dalam Islam. Namun meninggalkannya adalah lebih utama. Walau bagaimanapun, membeli barangan jenama tersebut dengan kepercayaan ia adalah nama tuhan yang sebenar, maka ia  dilarang kerana boleh menjejaskan akidah. Adapun mengenai hukum menyokong syarikat seumpama itu adalah sebagaimana jawapan pada soalan yang pertama

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 506

message user image