BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Tuan/Puan,

Saya berminat untuk mempelajari bahasa thai sebagai bahasa ketiga. Saya tertarik dengan satu kursus bahasa thai anjuran Young Men's Christian Association Kuala Lumpur (YMCA KL) kerana kaedah pembelajaran fleksibel dan yuran yang sangat berpatutan. Namun, kursus ini ditawarkan kepada ahli YMCA KL sahaja. Maklumat kursus boleh diakses melalui pautan berikut https://www.ymcakl.com/page/204/Language-Courses/

Saya telah menghubungi pihak YMCA KL dan dimaklumkan pendaftaran sebagai ahli terbuka kepada semua bangsa dan agama. Pertanyaan saya, apakah hukum jika saya mendaftar sebagai ahli YMCA KL bagi membolehkan saya sertai kursus bahasa thai tersebut?

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, secara asasnya mempelajari bahasa asing atau bahasa Thailand adalah harus. Islam tidak sama sekali melarang kita daripada menunaikan hak kemanusiaan yang lain dan mewujudkan suasana yang harmoni antara satu sama lain tanpa mengira agama. Namun demikian, Islam menggariskan batas-batas yang perlu dijaga bagi memelihara kesucian akidah Islam itu sendiri. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa dan pencerobohan.

Maka, dinasihatkan sebaiknya untuk seseorang Muslim mengelak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam urusan ibadah orang bukan Islam kerana ia dianggap membantu secara langsung atau menggalakkannya untuk menyekutukan Allah SWT. Di samping itu, mencari alternatif lain sebagai contoh mencari kelas bahasa Thailand bukan anjuran daripada persatuan selain agama Islam. Perkara ini juga dilihat sebagai suatu usaha dan berhati-hati agar diri tidak terjerumus yang boleh memesongkan akidah seseorang Muslim. Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 196

message user image