BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalam tuan mufti, apakah hukum kita meminta pertolongan malaikat? segelintir masyarakat kita suka gunakan ayat seperti "semoga malaikat menjaga dia" atau "Malaikat tolonglah jaga dia."


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Doa adalah senjata paling ampuh buat orang beriman. Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran bahawa keutamaan untuk kita sentiasa berdoa dan memohon pertolongan hanya kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan doa yang dimohon adalah rayuan dan permintaan khusus setiap umat Islam kepada Allah SWT. Walau sehebat mana sekalipun seorang itu pada pandangan mata manusia, dia tetap lemah di sisi Allah SWT. Setiap doa yang dititipkan kepada Allah SWT perlu diucapkan dengan penuh keikhlasan. Ia membawa diri meyakini Allah SWT sentiasa memerhati kita dalam setiap perkara yang dilakukan.

Dalam menjalani kehidupan di dunia ini juga, kita sebagai manusia pasti akan mengalami sesuatu kesulitan dan kesusahan. Sesungguhnya ketika kita sedang menghadapi sesuatu kesulitan atau musibah maka hanya Allah lah penolong, dan kepada-Nyalah tempat kita berdoa untuk memohon pertolongan. Ketahuilah bahawa sesuatu musibah dan kesusahan yang menimpa kita itu adalah ketentuan daripada Allah SWT.

Namun, dalam pengharapan kita kepada Allah SWT, terdapat kepercayaaan yang salah dalam kalangan kita, bahawa Allah SWT jauh daripada manusia lalu perlukan perantaraan maka terjadilah golongan yang dalam doa mereka bukan menyebut ‘Ya Allah!’ tolonglah aku, tetapi mereka menyebut makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT.

Kita hendaklah bersangka baik ketika berdoa, bahawa Allah akan memustajabkannya. Kita juga hendaklah berdoa dengan penuh tumpuan dan khusyuk. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُدْعُوا اللهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: "Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa". (Riwayat al-Tirmizi).

Ingin kami titipkan  pesanan  bahawa perkara yang paling utama dalam kehidupan beragama ini adalah menjaga akidah. Oleh itu kita disarankan oleh Islam supaya sentiasa menghindarkan diri dari apa sahaja amalan yang boleh menyebabkan kita terjerumus ke dalam penyelewengan akidah dan kesyirikkan atau dalam erti kata yang lain,  Allah SWT  tidak memerlukan kepada perantara. Oleh itu, kita hendaklah berdoa atau memohon pertolongan hanyalah kepada Allah SWT sahaja, tidak kepada selainnya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 215

message user image