BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalaamuàlaikum. 

Apakah hukum seseorang mengunakan App untuk mempercantikkan rupa dalam sosial media?  Seperti membesarkan mata, melicinkan muka, mencerahkan kulit, meruncing muka / dagu (dari lebar), memuda rupa dan lain-lain?  

Adakah ia berdosa? Sama seperti buat plastic surgery cuma dalam alam maya? 

Niat orang tu berbuat demikian, mungkin supaya dia dapat lebih peminat / followers. 

Sekian. 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hukum melakukan perkara tersebut bergantung kepada niat individu. Hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA, katanya dia mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرىء ما نوى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi orang itu mengikut apa yang diniatkannya. (Riwayat al-Bukhari) 

Seandainya menggunakan aplikasi itu untuk kegunaan sendiri, suka-suka, tiada kepentingan, maka harus dan tidak berdosa.

Namun jika berkepentingan, seperti untuk mempromosi diri, mencari followers, memasarkan produk kecantikkan atau sebagainya , maka ia mengandungi unsur penipuan. Menipu itu hukumnya berdosa. Orang yang suka menipu serta tidak amanah tergolong dalam kalangan orang munafik yang bakal menerima seksaan yang sangat pedih di akhirat nanti. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

من غش فليس منا

Maksudnya: Siapa yang menipu bukan dari kalangan kami. (Riwayat Muslim)

Jika ingin mencari ramai pengikut, mereka sepatutnya tunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat dengan cara yang betul, bukan dengan cara yang salah. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من دعا إلى هدى كان له من الأجر مثل أجور من تبعه لا ينقص ذلك من أجورهم شيئا ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من تبعه لا ينقص ذلك من آثاممهم شيئا

Maksudnya: Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 89

message user image