BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t, Ustaz/Ustazah

Adakah boleh menulis kalimah Allah dalam tulisan arab pada makanan seperti kek, kuih dan lain-lain. Jika sudah tertulis pada makanan, apa yang harus dilakukan pada makanan itu? 

Mohon pencerahan & pandangan. Sekian, terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan tuan, kalimah Allah merupakan kalimah suci. Bagi memelihara akidah umat Islam, kalimah suci Islam adalah khusus bagi agama Islam dan orang Islam sahaja. Oleh itu, kalimah suci Islam tidak boleh disalahgunakan atau disamakan dengan perkataan yang digunakan dalam agama bukan Islam. Orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam perkara ini. 

Oleh itu, adalah dilarang menggunakan nama Allah pada tempat yang tidak sepatutnya. Berdasarkan persoalan di atas, adalah tidak harus untuk menulis kalimah Allah pada makanan seperti kek, kuih dan sebagainya, kerana ianya perbuatan yang merendah serta meremehkan nama Allah SWT.  Selain itu, kalimah Allah mempunyai kedudukan yang tertinggi  kerana sifat kemuliaannya. Sekiranya kek itu masih ada, hilangkan nama Allah yang ada padanya dan kek itu boleh dimakan. Pembuat kek atau kuih tersebut hendaklah berazam tidak akan mengulanginya lagi kerana menulis kalimah Allah pada tempat yang bukan sepatutnya adalah tidak dibenarkan dalam Islam untuk menjaga kesucian martabatnya.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Taubah ayat 65:

وَلَىِٕنْ سَاَلْتَهُمْ لَيَقُوْلُنَّ اِنَّمَا كُنَّا نَخُوْضُ وَنَلْعَبُۗ  قُلْ اَبِاللّٰهِ وَاٰيٰتِهٖ وَرَسُوْلِهٖ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِءُوْنَ

Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 78

message user image