BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum w.b.t, 

Seorang anak lelaki mempunyai dua hutang dengan ibunya. Nilai kedua-dua hutang tersebut semasa pemergian arwah si ibu adalah serupa.

Hutang pertama berkaitan dengan rumah: Si ibu bersetuju membayarkan harga sebuah rumah buat anak lelakinya dan si anak akan diberi pemilikan penuh terhadap rumah tersebut dengan syarat si anak membayar semula harga rumah tersebut secara menyeluruh. Jika si anak gagal berbuat demikian, si ibu telah menyuruh si anak berkongsi rumah tersebut dengan kakaknya. 

Hutang kedua pula berkaitan dengan kereta. Dalam kes ini, si anak telah melangsaikan hutang tersebut semasa si ibu masih hidup. Saya difahamkan si ibu juga menganggap si anak membayar hutang kereta dan bukannya hutang rumah.

Selepas pemergian si ibu, keseluruhan ahli waris berbincang tentang hal faraid. Mereka menganggap rumah tersebut masih dikira harta si ibu. Menurut perjanjian, si anak perlu berkongsi rumah tersebut dengan kakaknya. Walaubagaimanapun, si anak mengatakan bahawa hutang kereta yang dia bayar kepada ibunya boleh ditukar menjadi hutang rumah kerana nilai hutang adalah serupa. Jadi si anak menganggap hutang rumah telah selesai dan hutang yang tinggal adalah hutang kereta pula. 

Persoalannya, si ibu sebagai pemberi hutang telah meninggal dunia. Adakah perbuatan si anak ini dibenarkan di sisi syarak? Mohon pandangan Mufti, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Bagi kes hutang pertama: Berdasarkan kenyataan yang diberikan, ibu setuju membayarkan harga rumah untuk anak lelakinya. Ini bermakna pada asasnya rumah itu adalah milik anak lelaki tersebut, dan anak lelaki tersebut perlu membayar kembali harga rumah tersebut kepada ibu sebagai hutang.

Walau bagaimanapun, ibu telah meletakkan syarat bahawa seandainya anak tersebut dapat membayar semula secara penuh hutang tersebut kepada ibunya, maka anak lelaki itu berhak mendapat pemilikan secara penuh rumah tersebut. Namun sekiranya anak gagal membayar penuh hutang tersebut, maka anak tersebut perlu berkongsi pemilikan bersama kakaknya. Memandangkan perkongsian itu diberikan kepada kakak berdasarkan hutang yang belum dijelaskan, maka nisbah perkongsian pemilikan rumah juga berdasarkan kepada nisbah baki hutang terhadap nilai semasa rumah. Anak itu boleh menebus nisbah pemilikan itu dengan membayar baki hutang kepada kakak. Oleh kerana pemberian hak perkongsian pemilikan itu (jika anak gagal membuat pembayaran penuh) tidak dikaitkan dengan kematian si ibu, maka ia adalah hibah dan tidak terikat dengan hukum wasiat. Oleh itu, waris-waris yang lain tidak berhak mendapat perkongsian pemilikan rumah tersebut. 

Bagi kes hutang kedua: Pada asasnya memindahkan tujuan sesuatu pembayaran kepada tujuan yang lain adalah tidak diharuskan melainkan dengan persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Di dalam kes ini, memandangkan salah seorang pihak, iaitu si ibu telah meninggal dunia, maka pemindahan tujuan daripada pembayaran kereta kepada pembayaran rumah adalah tidak dibenarkan. Maka pembayaran itu kekal sebagaimana asal tujuan pembayaran itu dibuat, iaitu pembayaran untuk kereta, dan bukan sebagai pembayaran untuk rumah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 70

message user image