BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Tuan,

Saya ada pertanyaan berkaitan kutipan khairat kematian oleh Masjid atau Surau di kawasan saya.

Baru-baru ini, ada isu berkaitan pembayaran tahunan khairat kematian di kawasan saya. Apa yang berlaku, keluarga arwah dikatakan tertunggak bayaran tahun dan tetapi bayaran khairat pada tahun arwah meninggal ada dijelaskan sebelum arwah meninggal. 
 

Persoalan yang berbangkit adalah, adakah wajib untuk keluarga menjelaskan jika tertunggak bayaran khairat untuk tahun-tahun yg lepas? Adakah ini dikira sebagai wajib atau sunat untuk dijelaskan? 
 

Soalan kedua, katakan saya dah pindah dari kawasan A selama 10 tahun dan kembali tinggal ke kawasan A semula, adakah diwajibkan saya untuk membayar 10 tahun khairat kematian dari saya pindah dan kembali?

 

Diharap dapat penjelasan mutlak dari pihak tuan berkaitan isu diatas. 
 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد 

Tabung Khairat Kematian bermakna simpanan wang (yuran) yang dikumpul untuk kebajikan ahli-ahlinya yang meninggal dunia misalnya perbelanjaan kelengkapan dan pengurusan jenazah, upah tukang mandi dan penggali kubur dan sebagainya. Secara ringkas, konsep tabung khairat kematian ialah setiap anggota atau setiap keluarga yang berdaftar dengan dana ini akan dikenakan membayar wang caruman, sama ada bulanan atau tahunan. Amaun caruman pula berbeza bergantung pada jumlah manfaat yang akan dibayar sebagai bantuan apabila ada ahli yang meninggal dunia.

Berkaitan ini, asas paling penting adalah akad atau perjanjian semasa permulaan membayar dalam tabung khairat kematian ini. Konsep paling mudah dalam pengamalan kebiasaan tabung khairat kematian adalah sekiranya seseorang tidak membayar caruman, maka terputuslah segala manfaat yang sewajarnya diterima oleh seseorang itu.

Dalam Surah al-Maidah ayat 1, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat (perjanjian) mereka (yang mereka sepakati). (Riwayat Al-Daruqutni)

Berkaitan persoalan tuan sama ada ia hutang atau tidak, ia perlu dimaklumi secara akad dan perjanjian. Sekiranya tidak dinyatakan, ia tidak dianggap hutang kerana manfaat akan diterima sekiranya dia membayarnya. Melainkan, sekiranya keluarga berkenaan ada menerima manfaat sepanjang tempoh tidak membayar itu, maka pihak penganjur boleh menuntut pembayaran tunggakan berkenaan selama mana ia menerima manfaat. Sewajarnya pihak penganjur memaklumkan kepada keluarga berkenaan tanpa perlu berlarutan sehingga 10 tahun dan mengambil tindakan sewajarnya.

Begitu juga persoalan kedua, tuan tidak perlu membayar apa-apa tunggakan kerana tidak berada dalam qariah yang dimaksudkan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 74

message user image